Monday, September 3, 2012

Agrobank lancar akaun syariah

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20120903/ko_03/Agrobank-lancar-akaun-syariah

Published: September 03, 2012, 2012

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Agrobank memperkenal produk pelaburan baru - Fixed Return Investment Account-i atau FRIA-i, yang merupakan inisiatif ke arah melaksanakan sistem Perbankan Islam sepenuhnya menjelang tahun 2015.

FRIA-i menawarkan pulangan pada kadar tetap berasaskan konsep Syariah komoditi murabahah dan ia ditawarkan kepada individu dan bukan individu yang layak mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman, FRIA-i ialah produk unik yang bakal memberikan kelebihan signifikan kepada para pelanggan Agrobank memandangkan keuntungan pelaburan boleh dibuat secara pembayaran hadapan.

"Ia juga istimewa kerana peniaga dan pengusaha dapat memanfaatkan produk ini dengan menjadikan pulangan yang diperoleh sebagai modal pusingan, tanpa perlu mengeluarkan pelaburan asal," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, kadar keuntungan FRIA-i merupakan kadar yang ditetapkan oleh bank melalui akad semasa pembukaan akaun sepanjang tempoh pelaburan, kata Wan Mohd Fadzmi.

Bermula pelaburan minimum RM5,000 bagi pembukaan akaun pelaburan, pelanggan dapat menikmati kadar keuntungan semasa yang kompetitif.

"Menerusi pelancaran produk FRIA-i, ini membuktikan kesungguhan Agrobank dalam menyediakan satu lagi produk bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana di samping turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi, terutama dalam sektor pertanian dan industri asas tani negara," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment