Thursday, September 27, 2012

Bank asing diminta salur pembiayaan

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bankasingdimintasalurpembiayaan/Article

Published: September 27, 2012
Oleh Che Wan Badrul Alias

Mahu bank asing turut aktif sediakan penyelesaian pembiayaan

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan sedang berbincang dengan beberapa institusi perbankan asing yang beroperasi di Malaysia bagi menyediakan pembiayaan kewangan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata negara ketika ini mempunyai kira-kira 19 bank asing yang beroperasi dengan lesen perbankan penuh namun kebanyakan mereka lebih menumpukan kepada pelanggan syarikat besar.
Kita mahu bank asing ini memperuntukkan beberapa peratus daripada dana mereka untuk disalurkan sebagai pembiayaan kepada PKS, walaupun ketika ini tiada garis panduan kepada cadangan ini, tapi bagi kami bank asing sepatutnya turut sama menyokong industri ini” - Donald Lim Siang Chai, Timbalan Menteri Kewangan.
Justeru, katanya, bagi menggalakkan eksport di kalangan PKS, kementerian mahu bank asing turut aktif menyediakan penyelesaian pembiayaan kepada PKS yang terbabit dalam perdagangan di negara asal bank berkenaan.

“Kita mahu bank asing ini memperuntukkan beberapa peratus daripada dana mereka untuk disalurkan sebagai pembiayaan kepada PKS, walaupun ketika ini tiada garis panduan kepada cadangan ini, tapi bagi kami bank asing sepatutnya turut sama menyokong industri ini.

Minta pembiayaan

“Sebagai contoh PKS yang terbabit dengan eksport ke China boleh meminta pembiayaan daripada bank asing China yang beroperasi di sini kerana sekurang-kurangnya mereka memahami pasaran sendiri.

“Kementerian sudah pun berbincang dengan beberapa bank asing terbabit dan setakat ini mereka memberikan maklum balas yang menggalakkan,” katanya kepada media selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MOU) antara Jiangmen Logistic Association dengan Josta Capital Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Bagi pihak Jiangmen Logistic Association diwakili Setiausaha Agungnya, Liang Wen Chang; manakala Josta Capital diwakili Pengarah Eksekutifnya, Johnny Tai.

MOU itu bertujuan mewujudkan platform kepada pengeksport tempatan meneroka pasaran China dengan menyediakan kemudahan logistik, pembungkusan, pensijilan, Kuarantin Imigresen Kastam (CIQ) dan akses pemasaran ke seluruh China.

Dengan kewujudan platform itu, Josta Capital menyasarkan eksport barangan Malaysia ke pasaran ekonomi kedua terbesar dunia itu akan meningkat kepada 10 peratus berbanding lima peratus kini.

Sementara itu, Lim berkata, kebergantungan PKS kepada pembiayaan daripada institusi kewangan kini semakin meningkat sejajar dengan pertumbuhan industri PKS tempatan dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK).

Berdasarkan tinjauan SME Corporation tahun lalu, kebanyakan PKS bergantung kepada sumber kewangan luar khususnya daripada bank dan institusi kewangan bagi memangkin operasi perniagaan mereka.

No comments:

Post a Comment