Sunday, September 30, 2012

BSN Kelantan perluas program galak ejen berdaftar

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bsn-kelantan-perluas-program-galak-ejen-berdaftar-1.90190

Published: September 30, 2012

KOTA BHARU - Bank Simpanan Nasional (BSN) Kelantan akan memperluaskan program menggalakkan premis tumpuan awam, terutama kedai runcit menjadi Ejen Bank Berdaftar dengan institusi kewangan itu.
  
Pengarah BSN Cawangan Kelantan Mohd Azian Abu Samah berkata langkah itu sejajar dengan matlamat bank itu sebagai bank komuniti yang memberi penekanan kepada masyarakat setempat.
  
Beliau berkata, sejak diperkenalkan Jun lepas, bank berkenaan kini mempunyai 148 ejen berdaftar di seluruh Kelantan dengan merekodkan lebih 91,000 transaksi yang bernilai lebih RM7.97 juta.
  
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Ejen Bank Berdaftar Bersama Komuniti di Kedai Runcit Padang Sakar di sini hari ini, Mohd Azian berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 4,000 Ejen Berdaftar Bank itu di seluruh negara (Malaysia) yang disasarkan sehingga akhir tahun ini.
  
Beliau berkata transaksi melalui Ejen Bank Berdaftar itu dijalankan di premis dengan menggunakan peralatan titik jualan (POS) yang dilengkapi dengan GPRS tanpa wayar.
  
"Antara perkhidmatan yang disediakan pada peringkat permulaan ialah perkhidmatan deposit, pengeluaran, pembayaran bil setempat, pembelian sijil Simpanan Premium (SSP) dan pembayaran tanpa tunai," katanya.
  
Mohd Azian berkata BSN akan terus progresif untuk memperkasakan inisiatif rangkuman kewangan untuk segenap lapisan masyarakat dan sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti kepada pelanggan dan orang ramai.
  
"Sebagai sebuah bank komuniti, kemudahan akses perbankan untuk segenap lapisan masyarakat menjadi mandat utama BSN. Sejajar dengan usaha ini, satu perkhidmatan yang dikenali sebagai Ejen Bank Berdaftar telah diperkenalkan oleh BSN pada Jun lepas," katanya.
  
Menurutnya, perkhidmatan itu merupakan satu saluran perbankan alternatif yang menawarkan akses perbankan asas yang lebih mudah, cepat dan fleksibel. - Bernama

No comments:

Post a Comment