Tuesday, September 18, 2012

Exim Bank - Sedia lulus RM2b

Source from (Bernama): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SedialulusRM2b/Article/index_html

Published: September 18, 2012
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

EXPORT-IMPORT Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) menyasarkan pembiayaan pinjaman berjumlah RM2 bilion bagi usahawan Malaysia yang ingin membuat pelaburan perdagangan ke luar negara sehingga akhir tahun ini.

Ketika ini, bank berkenaan sudah membiayai pinjaman sehingga RM1.8 bilion kepada usahawan Malaysia dalam pelbagai bidang ke luar negara dan jumlah itu dijangka meningkat memandangkan rakyat Malaysia semakin berjaya mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat global.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adissadikin Ali berkata, Exim Bank menawarkan pinjaman perdagangan jangka panjang kepada peniaga tempatan yang ingin menerokai pasaran luar negara sehingga RM609.5 juta mengikut syarat ditetapkan pihaknya.

Beliau berkata, antara syarat ditetapkan bagi membiayai pinjaman usahawan tempatan ke luar negara ialah syarikat perlu berdaya saing dan mempunyai rekod perniagaan baik di Malaysia.

“Kami sentiasa menggalakkan usahawan tempatan yang ingin menerokai pasaran luar negara untuk membuat pinjaman jangka panjang di Exim Bank kerana kami adalah bank di bawah kerajaan yang menawarkan pembiayaan secara berdaya saing, malah kami mengenakan kadar faedah berpatutan,” katanya ketika dihubungi Metro Bisnes di Kuala Lumpur, semalam.

Exim Bank mendapat modal perniagaan bukan saja daripada pihak kerajaan, malah membuat pinjaman daripada bank asing. Bank berkenaan turut mencatatkan aset pinjaman RM5 bilion manakala 60 peratus daripadanya disumbangkan oleh pinjaman perdagangan jangka panjang sejak 2005 sehingga kini.

No comments:

Post a Comment