Sunday, September 30, 2012

BSN galak kedai runcit jadi ejen

BANK Simpanan Nasional (BSN) Kelantan akan memperluaskan program menggalakkan premis tumpuan awam, terutama kedai runcit menjadi Ejen Bank Berdaftar dengan institusi kewangan itu.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BSNgalakkedairuncitjadiejen/Article/index_html
Published: September 30, 2012

Pengarah BSN Cawangan Kelantan Mohd Azian Abu Samah berkata, langkah itu sejajar dengan matlamat bank itu sebagai bank komuniti yang memberi penekanan kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan Jun lalu, bank berkenaan kini mempunyai 148 ejen berdaftar di seluruh Kelantan dengan merekodkan lebih 91,000 transaksi yang bernilai lebih RM7.97 juta.

“Transaksi melalui Ejen Bank Berdaftar ini dijalankan di premis dengan menggunakan peralatan titik jualan (POS) yang dilengkapi dengan GPRS tanpa wayar.

“Antara perkhidmatan disediakan pada peringkat permulaan ialah perkhidmatan deposit, pengeluaran, pembayaran bil setempat, pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) dan pembayaran tanpa tunai,” katanya selepas majlis perasmian Program Ejen Bank Berdaftar Bersama Komuniti di Kedai Runcit Padang Sakar di Kelantan, semalam.

Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada 4,000 Ejen Berdaftar Bank itu di seluruh negara yang disasarkan sehingga akhir tahun ini.

Mohd Azian berkata, BSN akan terus progresif memperkasakan inisiatif rangkuman kewangan untuk segenap lapisan masyarakat dan sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan lebih cekap serta berkualiti kepada pelanggan dan orang ramai. - Bernama

No comments:

Post a Comment