Sunday, December 30, 2012

Perniagaan rempah Tok Ma maju (SME Bank)

KUALA TERENGGANU, 31 Dis (Bernama) -- Anak Jasa (M) Sdn Bhd, pengeluar rempah segera jenama Tok Ma dari Kampung Bukit Payong, Marang, berhasrat memperluaskan perniagaannya ke seluruh negara menjelang tahun depan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=918674
Published: January 02, 2013

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121225/wt_04/Perniagaan-rempah-Tok-Ma-maju
Published: December 25, 2012

Pengarah pengeluarannya, Salehah Mohammad, 65, berkata meski pun produknya yang dikendalikan secara kecil-kecilan itu telah bertapak lebih 10 tahun, namun sudah tiba masanya untuk melebarkan sayap lebih jauh di mana setakat ini rempah segera Tok Ma berada di pasaran sekitar Shah Alam, Selangor dan juga beberapa pasar raya serta kedai runcit sekitar Terengganu.

"Kita menyasarkan untuk mengedarkan rempah keluaran Tok Ma ke seluruh negara setelah mendapat maklum balas yang baik dari pengguna."

"Namun, ia bukan mudah untuk bertapak ke seluruh negara dan kita kini sedang meminta bantuan dari pihak berwajib," katanya kepada Bernama yang memulakan pengedaran rempahnya di kalangan saudara-mara dan jiran.

Mesra dengan panggilan Tok Ma, warga emas itu berkata beliau yakin dengan bantuan dan sokongan daripada anak-anak, matlamatnya untuk mengembangkan rempahnya ke seluruh negara akan tercapai suatu hari nanti.

Lebih meyakinkan lagi buat beliau apabila SME Bank memberi pinjaman RM80,000 untuk membiayai pembelian mesin pengisar dan ketuhar bersaiz besar. yang membolehkan wanita itu mempertingkatkan pengeluaran rempah segera keluarannya dan kini kilang miliknya yang terletak di Bukit Payung mampu mengeluarkan 5,000 peket rempah sehari, dengan jualan lebih RM30,000 setahun.

"Kini, setelah hampir 10 tahun mendapat bantuan dari SME Bank, saya rasa amat gembira dan berpuas hati dengan pencapaian perniagaan kami sekeluarga," katanya.

Syarikat Salehah mengeluarkan enam jenis produk rempah iaitu rempah gulai nasi dagang, nasi minyak, kerutuk, gulai ayam/daging, kari ikan dan kari daging dengan harga RM1 sepaket untuk 25 gram dan RM4 untuk paket 150 gram.

Mengimbas kembali detik-detik awal perniagaannya, beliau berkata, pada awal perniagaannya, beliau cuma membeli kira-kira 10 kg bahan untuk diproses menjadi rempah secara manual.

"Maklumlah, ketika itu saya tidak ada modal... maka, saya jual rempah di sekitar kampung. Tetapi, empat tahun lepas, anak-anak bantu saya kembangkan perniagaan di beberapa tempat sebelum ke seluruh negara nanti," katanya.

Beliau berkata walau pun berat hatinya untuk menunaikan cadangan anak-anaknya itu, namun beliau gagahi juga dengan harapan rempah Tok Ma tidak mati begitu sahaja.

"Yang penting, dalam usia saya yang semakin lanjut ini, saya masih dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat, terutamanya suri rumah dalam menyenangkan kerja dapur," katanya.

Salehah boleh dihubungi melalui talian di nombor 013-6310722 atau pejabat 09-6196772 bagi mendapatkan rempah ratus keluarannya itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment