Sunday, May 26, 2013

Aktiviti M&A bank pelaburan dijangka rancak - MIDF

KUALA LUMPUR 24 Mei - Aktiviti penggabungan dan pengambilan alih (M&A) bank-bank pelaburan yang berdiri sendiri oleh bank-bank komersial dijangka terus rancak.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130525/ek_02/Aktiviti-MA-bank-pelaburan-dijangka-rancak
Published: May 26, 2013

Naib Presiden Kanan dan Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Investment), Zulkifli Hamzah (gambar) berkata, pandangan itu berdasarkan kebanyakan bank-bank pelaburan yang berdiri sendiri tidak berupaya mendapatkan pulangan yang baik.

Menurut beliau, situasi itu berlaku kerana bank-bank pelaburan perlu mematuhi Basel II: Pillar 2 yang membabitkan keperluan dalam suntikan modal yang tinggi.

"Jika mengikut keperluan yang diperuntukan, modal minimum bagi operasi bank pelaburan adalah sebanyak RM500 juta.

"Bagaimanapun, terdapat persoalan adakah bank-bank pelaburan ini mampu mencatatkan pulangan sekurang-kurangnya 10 peratus?.

"Sedangkan kebanyakan bank-bank pelaburan mencatatkan pulangan yang cukup rendah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan cadangan penjualan HwangDBS Investment Bank Bhd. (HwangDBS).

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi kelulusan kepada Hwang-DBS (M) Bhd. untuk memulakan rundingan dengan Affin Holdings Bhd. dan AMMB Holdings Bhd. (AMMB) bagi penjualan HwangDBS Investment Bank Bhd. (HwangDBS IB).

Pada tahun lalu, OSK Investment Bank dibeli oleh sayap bank pelaburan RHB Capital Bhd.

Mengikut laman web BNM, sejumlah 15 bank pelaburan sedang beroperasi di Malaysia termasuk tiga yang berdiri sendiri.

Bank-bank pelaburan itu ialah MIDF Amanah Investment Bank Bhd., KAF Investment Bank Bhd. dan Kenanga Investment Bank Bhd.

No comments:

Post a Comment