Thursday, May 23, 2013

LTH komited RM150 juta dalam dana pajakan

KUALA LUMPUR 22 Mei - Lembaga Tabung Haji (LTH) komited untuk melabur sebanyak RM150 juta ke dalam Dana Pembiayaan Pendapatan Pajakan GCC Guidance ATEL, sebuah dana pembiayaan pajakan syariah pertama diperkenalkan di dunia.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TabungHajilaburRM150juta/Article/index_html
Published: May 23, 2013

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130523/ek_05/LTH-komited-RM150-juta-dalam-dana-pajakan
Published: May 23, 2013

Pelaburan LTH dalam dana itu akan dilakukan menerusi ekuiti persendirian yang diuruskan oleh firma pelaburan, Guidance Investments.

Ketua Pegawai Pelaburannya, Abd. Kadir Sahlan berkata, pihaknya menjangka untuk melabur dalam dana itu dalam tempoh tiga tahun dan pelaburan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Katanya, LTH telah memilih dana tersebut bagi mengurangkan bebanan tanggungan tahunan LTH dalam perbelanjaan operasi haji di Arab Saudi.

Jelasnya, pendapatan yang akan diperoleh dalam mata wang riyal Saudi itu dijangka memberi kelebihan kepada LTH, sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan LTH di negara tersebut.

"Setakat ini, LTH banyak melabur dalam sektor hartanah di peringkat antarabangsa dan peluang untuk melabur dalam dana pembiayaan pendapatan pajakan ini telah memberi peluang kepada LTH untuk melakukan penjimatan kos terutamanya dalam urusan haji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran firma pelaburan yang beribu pejabat di Malaysia, Guidance Investments dan majlis menandatangani perjanjian di antara Guidance Investments dengan LTH bagi Dana Pembiayaan Pendapatan Pajakan GCC Guidance ATEL di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Pengerusi Guidance Financial Group LLC, Mohammad Hammour dan Ketua Pegawai Eksekutif Guidance Investments, Dr. Hasnita Hashim.

Guidance Investments merupakan firma pengurusan pelaburan antarabangsa yang melabur dalam ekuiti persendirian, pendapatan tetap dan hartanah, berlandaskan pematuhan syariah.

Hasnita berkata, pihaknya memilih Malaysia sebagai ibu pejabat Guidance di Asia berikutan kekuatan negara ini dalam kewangan Islam.

Selain itu, katanya, pihaknya mahu memberi tumpuan program pelaburan di Asia Tenggara dan Asia Barat, berikutan potensi yang wujud.

"Kami di Guidance Investments mempunyai pengalaman menarik pelaburan dari Asia Barat ke Asia, begitu juga sebaliknya.

"Kejayaan itu akan diteruskan melalui kewujudan Guidance Investments di negara ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment