Wednesday, May 8, 2013

Jaminan pembiayaan RM2b - CGC

CREDIT Guarantee Corp Malaysia Bhd (CGC) menjangkakan pertumbuhan jaminan pembiayaan yang diberikannya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan berkembang lebih pantas selepas berakhirnya PRU-13.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JaminanpembiayaanRM2b/Article
Published: May 08, 2013

CGC sasar perniagaan meningkat selepas PRU-13

Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, berkata pertumbuhan jaminan pembiayaan yang dicatatkannya dalam empat bulan pertama tahun ini sedikit menurun berbanding pada tempoh yang sama tahun lalu memandangkan kegiatan perniagaan yang agak perlahan disebabkan keadaan tidak menentu menjelang PRU-13.

CGC bukan saja menumpu kepada menyediakan jaminan pembiayaan kepada PKS, malah memastikan syarikat terbabit mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta berada dalam kedudukan untuk berunding dengan bank bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan pada kadar yang terbaik," Wan Azhar Wan Ahmad, Pengarah Urusan Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd 

Bagaimanapun, katanya penurunan hanya dari segi jumlah jaminan pembiayaan, tetapi dari segi nilai ia masih menyamai angka tahun lalu.

“Setiap tahun kami menjangkakan pertumbuhan yang positif. Bagaimanapun, kami sudah mengambil kira 2013 ini sebagai tahun yang berbeza kerana pilihan raya.

“Kami menjangkakan momentum aktiviti perniagaan akan kembali meningkat selepas pilihan raya berakhir,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Penyampaian Anugerah Penyokong Utama PKS ke-18 CGC di Petaling Jaya, semalam. Yang turut hadir ialah Pengerusi CGC, Datuk Seri Abdul Hamidy Abdul Hafiz.

CGC menyasarkan untuk menyediakan jaminan bagi pembiayaan baru berjumlah RM2 bilion tahun ini, meningkat sekali ganda berbanding kira-kira RM1 bilion pada 2012.
Sasaran itu ditetapkan berdasarkan kerancakan aktiviti perniagaan dalam kalangan PKS di samping peningkatan mutu pembiayaan kepada syarikat terbabit.

Peningkatan ketara

Wan Azhar berkata, terdapat peningkatan ketara dari segi mutu pembiayaan PKS tahun lalu bersandarkan kepada peruntukan bagi tuntutan pinjaman yang dijamin.

“Pada asasnya ini disebabkan pengurusan mutu pinjaman CGC yang bertambah baik, termasuk beberapa langkah proaktif untuk menangani masalah pinjaman yang berpotensi gagal dijelaskan,” katanya sambil menambah kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) CGC kini kurang daripada empat peratus.

Beliau berkata, CGC kini sedang memasuki agenda kedua penubuhannya iaitu menjadikan PKS sebagai syarikat yang berdaya maju serta mampu mendapatkan akses pembiayaan dengan bank.

“CGC bukan saja menumpu kepada menyediakan jaminan pembiayaan kepada PKS, malah memastikan syarikat terbabit mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta berada dalam kedudukan untuk berunding dengan bank bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan pada kadar yang terbaik,” katanya.

Bentuk pakatan baru

Bagi meningkatkan akses pembiayaan kepada PKS, Wan Azhar berkata CGC telah membentuk pakatan baru dengan lima rakan perbankan untuk menawarkan lebih banyak opsyen pembiayaan serta saluran penyampaian.

“Kami membentuk pakatan strategik dengan lima bank untuk menawarkan skim jaminan portfolio inovatif CGC yang terbukti berkesan dari segi kos dan sistem penyampaian yang cekap dengan tempoh kelulusan lebih pantas,” katanya.

Buat masa sekarang, lima bank iaitu Standard Chartered, Public Bank, OCBC Bank, RHB Bank dan Alliance Bank adalah peserta aktif skim jaminan portfolio CGC.

Sehingga kini, CGC telah menawarkan pembiayaan berjumlah RM700 juta kepada kira-kira 2,700 PKS sejak penubuhan skim berkenaan pada 2009.

No comments:

Post a Comment