Thursday, May 16, 2013

BSN Sasar Keluarkan 30,000 Kad Kredit 1TeachersCard Kepada Warga Pendidik

SEREMBAN, 15 Mei (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) mensasarkan untuk mengeluarkan 30,000 kad kredit '1TeachersCard' kepada warga pendidik dan kakitangan Kementerian Pelajaran dalam tempoh setahun.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=949762
Published: May 16, 2013

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN Winston E. Jeyaprakash berkata, sasaran itu mampu dicapai ekoran ciri istimewa yang ditawarkan pada produk terbaru bank itu, termasuk kadar caj kewangan yang rendah.

"Kad kredit 1TeachersCard ini merupakan salah satu inisiatif BSN untuk merakamkan penghargaan terhadap sumbangan guru yang diberikan kepada rakyat Malaysia.

"Ciri istimewa 1TeachersCard ini adalah ia menawarkan caj kewangan terendah dalam industri kad kredit iaitu pada kadar 8.88 peratus setahun dan hanya 0.74 peratus sebulan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad berkenaan pada pameran dan fstival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini Rabu.

Pelancaran kad itu adalah sempena sambutan Hari Guru esok, yang mana sambutan peringkat kebangsaannya akan diadakan di negeri ini dan dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jeyaprakash berkata, ciri istimewa lain yang bakal dinikmati pengguna kad kredit tersebut adalah tiada yuran tahunan dan pulangan RM50 kepada setiap pemohonan yang diluluskan.

"Di samping itu, kad ini juga turut menawarkan diskaun pembelian, mata ganjaran, Kad Zing PlusMiles percuma dan pengeluaran wang tunai tanpa caj tambahan," katanya.

Katanya, usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan beban pengguna ketika berada dalam saat kecemasan untuk menggunakan wang dan mengelakkan mereka meminjam dari sumber yang tidak sah.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pegawai Ekskutif BSN Datuk Adinan Maning.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment