Sunday, May 12, 2013

Lembaga Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan Lebih RM10.9 Juta

SHAH ALAM 10 Mei - Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri ini berjumlah RM10.9 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130511/wk_02/Tabung-Haji-serah-zakat-perniagaan-RM109-juta
Published: May 13, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=948729
Published: May 12, 2013


Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima replika cek zakat Lembaga 
Tabung Haji yang disampaikan oleh Ismee Ismail (kiri) sambil 
diperhatikan oleh Syed Anwar Syed Putera Jamalullail (kanan) 
di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor,

Cek yang disampaikan oleh Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Esekutif LTH, Datuk Ismee Ismail itu diterima oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini.

Menurut Ismee, zakat yang dibayar adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar LTH berbanding negeri-negeri lain.

"Ini juga merupakan zakat yang tertinggi nilainya diterima oleh LZS setakat ini, untuk makluman, jumlah keseluruhan zakat perniagaan LTH pada tahun ini bagi seluruh negara adalah berjumlah RM41.2 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Upacara penyerahan zakat LTH itu turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.

Sementara itu, dalam majlis berasingan Sultan Selangor turut berkenan untuk menyampaikan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor kepada Salehan Yatim berkuatkuasa 1 Mei 2013.

Tuanku Sultan Selangor juga berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Abdul Jalil Abdul Rani sebagai Orang Besar Daerah Hulu Langat yang membawa gelaran Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Langat berkuat kuasa 2 Mei 2013.

Pada majlis itu juga, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan pelantikan Wali Raja Negeri Selangor kepada 10 pegawai agama bagi mengendalikan perkahwinan, penceraian dan rujuk bagi orang Islam di negeri ini.

No comments:

Post a Comment