Monday, May 27, 2013

Mohon 10,000 kuota tambahan haji

Yan: Kerajaan yakin permohonan Malaysia untuk mendapatkan 10,000 kuota tambahan jemaah haji tahun ini akan mendapat pertimbangan positif daripada Arab Saudi. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mohon10_000kuotatambahanhaji/Article
Published: May 27, 2013

Keyakinan itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, selepas mengambil kira kelebihan dimiliki Malaysia terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang terbukti mempunyai hubungan akrab dengan keluarga Diraja Arab Saudi.

Jamil Khir berkata, kerajaan sedang berbincang dengan Arab Saudi bagi mendapatkan tambahan itu, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menunaikan haji tahun ini.

“Memang setiap tahun kita bincang perkara itu dan kebiasaannya permohonan sedemikian akan diluluskan pada saat-saat akhir mengikut keperluan sesebuah negara.

“Apa pun, kita percaya Malaysia mempunyai kelebihan kerana keakraban (hubungan) Perdana Menteri dengan keluarga Diraja Arab Saudi.

“Jadi kelebihan ini mungkin akan membantu Malaysia untuk mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan negara itu,” katanya selepas sesi lawatan dan turun padang di sekitar Parlimen Jerai di sini, semalam.

Kuota ditetapkan OIC

Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai, berkata kebiasaannya kuota haji ditetapkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berdasarkan pembahagian 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam di sesebuah negara.

Bagaimanapun, katanya, bagi Malaysia, OIC memperuntukkan kuota sebanyak 0.1 peratus tanpa mengambil kira jumlah umat Islam, sebaliknya diberi berdasarkan kapasiti keseluruhan 26 juta rakyat Malaysia, sebelum dinaikkan berdasarkan kepada 28 juta penduduk tahun ini.

“Apa pun, kita masih mengadakan perbincangan biasa yang diadakan setiap tahun untuk memohon penambahan kuota haji dan permohonan untuk penambahan kuota haji akan dibangkitkan sekali lagi untuk pertimbangan wajar pihak Arab Saudi.

“Kita percaya ia akan dipertimbangkan dengan sewajarnya sehingga mungkin boleh mendapat penambahan sehingga 10,000 lagi,” katanya.

Sementara itu, Jamil berkata, model pengurusan haji Malaysia yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji terus mendapat pengiktirafan negara luar dan ia terbukti apabila semakin banyak pihak yang cuba mempraktikkan model berkenaan dalam pentadbiran haji masing-masing.

No comments:

Post a Comment