GURUN, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia bersedia memberi kerjasama kepada
mana-mana negara yang berminat menjadikan sistem pengurusan haji oleh
Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai model pengurusan jemaah haji mereka.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=951978
Published: May 26, 2013
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata
sistem pengurusan haji holistik yang diguna pakai TH menarik minat
banyak negara untuk mencontohinya.
"Saban tahun Raja Arab Saudi, semasa ucapan Hari Raya, pertemuan dengan
delegasi dan Menteri Haji serta pertemuan dengan pemimpin-pemimpin
negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), baginda selalu memuji
pengurusan TH.
"Apabila kerajaan Kazakhstan kata berminat menjadikan Malaysia contoh,
ia tidak pelik kerana setiap bulan ada negara asing berkunjung ke
Malaysia untuk melihat model pengurusan TH," katanya kepada pemberita
pada majlis jamuan kesyukuran anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu
Tiga, dekat sini, Sabtu.
Katanya selain Kazakhstan, Bosnia, Afrika, Amerika Syarikat dan United
Kingdom menunjukkan minat untuk diadakan kerjasama antara TH dengan
agensi-agensi pelancongan negara mereka yang menguruskan jemaah haji.
"Di Malaysia, terdapat akta pengurusan haji dan TH dan ini membezakan Malaysia dengan negara lain.
"Semua negara di dunia mengenakan tambang menunaikan haji di Tanah Suci
yang tinggi tetapi kita memberi subsidi. Jemaah hanya membayar RM9,980
termasuk penginapan dan pengangkutan selama 40 hari di Makkah. Ini
mungkin antara sebab negara lain ingin menjadikan Malaysia contoh," kata
Jamil Khir.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment