ASTANA (KAZAKHSTAN) 22 Mei - Forum Ekonomi Astana (AEF) yang merupakan antara acara tahunan terpenting di Kazakhstan sejak enam tahun lalu khususnya untuk membincangkan segala isu serta permasalahan berkaitan ekonomi negara itu dan dunia, memulakan persidangannya hari ini.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130523/ek_07/Malaysia-sertai-AEF-di-Astana
Published: May 23, 2013
Dengan penyertaan kira-kira 8,500 peserta dari 100 buah negara termasuk membabitkan beberapa tokoh-tokoh ekonomi dunia, forum itu dijangka menghasilkan beberapa resolusi bagi mengatasi isu-isu ekonomi yang semakin mengancam sistem kewangan global.
Malaysia turut tidak ketinggalan menyertai forum yang diadakan di Palace of Independent itu, melalui penyertaan beberapa agensi kerajaan dan swasta, termasuk SME Bank dan SME Corporation Malaysia.
Antara isu terpenting yang akan dibincangkan di dalam forum kali ini ialah krisis global yang selama ini dilihat telah memberi kesan buruk kepada kedudukan ekonomi dunia.
Untuk itu, pada AEF kali ini satu persidangan antikrisis global akan diadakan bertujuan mencari satu jalan penyelesaian serta usaha pencegahan paling berkesan sekiranya berlaku krisis.
Tidak dapat dinafikan setiap krisis yang berlaku akan memberi kesan amat negatif dan sebagai contoh krisis kewangan global.
Akibat daripada krisis itu banyak negara menerima kesannya secara langsung antaranya negara-negara di benua Eropah.
Begitu juga dengan isu Arab Springs yang boleh dianggap sebagai satu krisis memandang negara-negara Asia Barat yang dilanda dengan isu tersebut sehingga kini gagal pulih daripada masalah ekonomi hingga menyebabkan keadaan negara tidak aman sepenuhnya
Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh kerajaan Khazakhstan di bawah pemerintahan Presidennya, Nursultan Nazarbayev dengan mengadakan AEF buat kali keenam pada tahun ini wajar diberikan penghargaan dan sokongan semua pihak.
Faedah bukan sahaja diperoleh Kazakhstan selaku tuan rumah malah negara-negara yang menyertai forum itu melalui delegasi masing-masing mampu menerima manfaat serupa.
Selain krisis global, forum selama tiga hari itu juga akan menyentuh isu harga komoditi dan pertumbuhan ekonomi global tahun ini; isu prasarana, inovasi dan teknologi; isu persaingan global; isu pembangunan sosial; isu sistem kewangan, risiko dan respons polisi.
Tidak ketinggalan diadakan juga perbincangan serta dialog antara pemimpin-pemimpin dunia serta tokoh-tokoh ekonomi antarabangsa di atas pelbagai platform pertemuan.
Selain itu, forum yang buat pertama kali diadakan pada tahun 2008 itu turut mewujudkan peluang-peluang perniagaan melalui perjanjian-perjanjian persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani antara pihak-pihak terlibat.
Majlis perasmian AEF kali keenam akan dirasmikan oleh Presiden Nursultan di sini, esok.
No comments:
Post a Comment