Kira-kira 8.2 juta pendeposit Tabung Haji (TH) mampu tersenyum lebar apabila pengurusan tertinggi TH pada awal Februari lalu mengumumkan pemberian bonus bagi tahun kewangan 2012 berjumlah 8 peratus.
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProdukkewanganIslamdiyakini/Article/index_html
Published: May 06, 2013
Kadar bonus ini adalah satu tanda penghargaan TH kepada penyimpannya sempena sambutan Jubli Emas TH pada tahun ini.
Satu perkara yang nyata prestasi kewangan TH memberangsangkan pada tahun lalu memberi gambaran satu contoh testimoni terhadap kejayaan perbankan Islam yang semakin berkembang di Malaysia.
Evolusi perbankan Islam di Malaysia yang pada awalnya dirintis dengan penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji pada 1969 dan diikuti oleh Bank Islam pada 1983 adalah bukti kesungguhan negara kita untuk menerajui sektor kewangan Islam.
Sebelum dekad 1980-an kebanyakan rakyat Malaysia kurang arif dengan istilah muamalat Islam seperti Mudharabah, Murabahah dan ar-Rahnu. Istilah berkenaan cukup asing pada masa itu bagi kebanyakan orang Melayu. Hal ini kerana mereka banyak terdedah kepada konsep perbankan konvensional yang sudah lama bertapak di Malaysia sebelum merdeka lagi.
Skop lebih luas Kini skop perbankan Islam semakin luas dan mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan bukan Islam.
Produk perbankan Islam tidak semata-mata terhad kepada simpanan wang seperti akaun Wadiah, tetapi ia melebarkan sayap meliputi insurans takaful, pelaburan sukuk, dan wakaf.
Keupayaan Malaysia membangunkan instrumen kewangan Islam didorong beberapa faktor seperti komitmen kerajaan yang menggubal undang-undang khusus untuk melaksanakan perbankan Islam. Pada masa ini, ada dua akta berkaitan kewangan Islam iaitu Akta Bank Islam 1983 dan Akta Takaful 1984 yang diguna pakai lebih dua dekad.
Sungguhpun perbankan Islam sudah pun bertapak di Malaysia lebih 30 tahun, namun aspek perundangan kewangan Islam perlu ditambah baik sesuai dengan peredaran masa dan peningkatan tahap intelektual rakyat di negara ini.
Hab Perbankan Islam Oleh itu, sejajar dengan keperluan semasa maka pada tahun lalu, rang undang-undang Perkhidmatan Kewangan Islam 2012 dibentangkan untuk kelulusan Parlimen.
Selain aspek perundangan, Malaysia menyediakan platform khusus bagi merancakkan aktiviti kajian dan pembangunan kewangan Islam.
Sesuai dengan peranan yang dimainkan Malaysia sebagai hab perbankan Islam, maka dua institusi penyelidikan dalam kewangan ini ditubuhkan iaitu Kolokium Akademi Pengajian Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) dan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).
Cuma satu perkara yang harus diberikan penekanan sekarang ialah kaedah meningkatkan lagi tahap kefahaman umat Islam di Malaysia berhubung instrumen perbankan Islam.
Pernah satu ketika dulu terdapat kes seorang petugas di bank yang mempromosikan produk perbankan Islam sendiri tidak tahu hendak menerangkan perbezaan sistem muamalat Islam dan konvensional. Keadaan menjadi lebih rumit apabila ada pihak beranggapan perbankan Islam lebih bersifat menindas berbanding sistem konvensional seperti pernah dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia beberapa tahun lalu.
Pelbagai keraguan yang timbul ini perlu dirungkai secara kolektif oleh semua pihak berkepentingan dalam muamalat Islam.
Kita tidak mahu setiap produk perbankan Islam dianggap sekadar simbol tanpa ada pengisian yang benar-benar patuh syariah. Penulis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Multimedia
No comments:
Post a Comment