Monday, May 27, 2013

Kuota tambahan haji: Kerajaan buat rayuan setiap tahun

JERAI 26 Mei - Kerajaan sentiasa membuat rayuan memohon kuota tambahan kepada pihak berkuasa haji di Arab Saudi setiap tahun dalam usaha membolehkan lebih ramai umat Islam negara ini mengerjakan haji.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130527/dn_05/Kuota-tambahan-haji-Kerajaan-buat-rayuan-setiap-tahun
Published: May 27, 2013


Jamil Khir Baharom (dua dari kanan) berbual dengan penduduk yang hadir pada majlis kenduri kesyukuran di rumah Setiausaha Lembaga Tadbir Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Mohd Najib Fahami Yahaya (dua dari kiri) di Kampung Sungai Dedap, Yan, Kedah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kelulusan daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu hanya diketahui pada saat-saat akhir dan bergantung pada faktor keadaan semasa.

Menurut beliau, pihaknya juga meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai hubungan baik dengan Raja Arab Saudi berhubung penambahan kuota tersebut.

"Setiap tahun kita akan merayu, berbincang dan menghantar surat kepada pihak berkuasa haji di Arab Saudi, namun bergantung juga pada kelulusan yang dibuat berdasarkan faktor semasa.

"Sekarang kuota kita yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi hanya 28,000 orang dan kita berharap memperoleh tambahan sebanyak 10,000 lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri kesyukuran di rumah Setiausaha Lembaga Tadbir Sekolah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Mohd. Najib Fahami Yahaya.

Jamil Khir baru-baru ini memberitahu, sebanyak sejuta umat Islam di negara ini berada dalam senarai menunggu untuk mengerjakan haji berikutan kuota yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi hanya 28,000 orang bagi setiap kali tibanya musim haji.

Katanya, kuota jemaah haji bagi sesebuah negara ditetapkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk di negara terbabit.

Dalam perkembangan lain, kata Jamil Khir, banyak negara luar telah mengguna pakai sistem pengurusan haji oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai model pengurusan jemaah haji mereka.

"Namun terdapat sedikit kekangan dalam menjayakannya kerana di Malaysia terdapat akta pengurusan haji dan Tabung Haji dan ini membezakan Malaysia dengan negara lain," katanya.

No comments:

Post a Comment