Friday, May 31, 2013

Ejen perbankan BSN berjaya tingkat urus niaga luar bandar

LANGKAH Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk meningkatkan bilangan ejen perbankan membuahkan hasil seperti yang dibuktikan menerusi peningkatan kukuh urus niaga di seluruh negara terutamanya bagi pembayaran bil, kata Ketua Eksekutifnya Datuk Adinan Maning.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/ejen-perbankan-bsn-berjaya-tingkat-urus-niaga-luar-bandar-1.165656
Published: May 31, 2013

BANK Simpanan Nasional (BSN)

Beliau berkata 4,050 ejen perbankan dilantik sejak Januari tahun lepas telah membantu BSN mencatatkan urus niaga sebanyak 6.2 juta yang bernilai RM560 juta, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada 5.2 juta urus niaga pembayaran bil bernilai RM400 juta.
  
Adinan melahirkan keyakinan BSN mampu melantik 5,000 ejen perbankan pada akhir 2013, mengatasi tarikh sasaran 2015 yang ditetapkan oleh kerajaan untuk meningkatkan bilangan ejen.
  
Selain itu, deposit membentuk 600,000 urus niaga bernilai RM91 juta, pengeluaran mencatatkan 420,000 urus niaga bernilai RM66 juta dan urus niaga Sijil Simpanan Premium mencatatkan 20,000 urus niaga bernilai RM1 juta, katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Ke-19 Institut Bank-Bank Simpanan Dunia (WSBI) Kumpulan Serantau Asia/Pasifik.
  
Kerajaan telah menyerahkan tanggungjawab kepada bank simpanan nasional itu untuk melantik 5,000 ejen perbankan dalam tempoh tiga tahun dalam Bajet 2012 bagi meningkatkan keselesaan perbankan penduduk luar bandar di bawah Program Transformasi Luar Bandar bagi membangunkan status sosio ekonomi penduduk luar bandar.
  
"Pada Julai tahun ini, kami merancang memperkenalkan perkhidmatan baharu menerusi ejen-ejen yang akan menyediakan pendapatan tambahan kepada bank.
  
"Selain melantik ejen perbankan, kami menyasar membuka tiga cawangan baru tahun ini dengan setiap cawangan menelan kos kira-kira RM500,000," kata Adinan.
  
Ketika ini, BSN mempunyai 398 cawangan di seluruh negara.
  
Ejen perbankan BSN merupakan konsep perbankan tanpa cawangan yang menawarkan akses kewangan kepada pelanggan terutamanya di kawasan tanpa bank.
  
Ia membolehkan pelanggan membuat urus niaga perbankan yang dikendalikan oleh ejen sah di outlet runcit.
  
BSN hari ini menganjurkan mesyuarat dua hari bertemakan "Berdepan Persekitaran Perbankan yang Berubah dengan Pesat", yang membolehkan para peserta melihat aliran landskap perbankan dan menilai kesannya kepada industri perbankan.
  
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Turut hadir ialah Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Pengarah Urusan WSBI Chris De Noose.
  
WSBI ialah wakil global perbankan simpanan dan runcit. Ia mewakili bank simpanan dan bank runcit atau persatuan yang komited kepada masyarakat di 90 negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment