Monday, April 22, 2013

8,000 syarikat tempatan dapat pinjaman MIDF lulus RM11 bilion

KANGAR 19 April - Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) telah meluluskan pembiayaan kewangan berjumlah RM11.3 bilion kepada 8,721 syarikat tempatan setakat 28 Februari lalu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130420/ek_01/8000-syarikat-tempatan-dapat-pinjamanMIDF-lulus-RM11-bilion
Published: April 22, 2013


          MOHD. NAJIB

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Najib Abdullah berkata, pembiayaan kewangan itu membolehkan syarikat-syarikat tempatan mengurangkan kos operasi, di samping meningkatkan tahap daya saing dan daya tahan syarikat-syarikat tersebut.

Menurut beliau, MIDF hanya mengenakan kadar faedah pinjaman tetap serendah empat peratus setahun bagi pembiayaan pembelian mesin, peralatan, bangunan kilang dan hartanah komersial ataupun pembinaan hartanah perkilangan atau bagi kegunaan modal kerja.

Katanya, MIDF turut menawarkan tempoh pembayaran balik pembiayaan yang panjang sehingga 25 tahun bagi pembiayaan hartanah komersial.

"Kadar faedah yang rendah dan tetap serta tempoh pembayaran balik yang agak panjang telah memberi peluang kepada beribu-ribu syarikat tempatan untuk mengukuhkan kedudukan aliran tunai syarikat. Ia seterusnya membolehkan syarikat-syarikat itu mempunyai tahap kapasiti dan keyakinan yang tinggi untuk bersaing," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Najib menambah, penawaran pembiayaan pinjaman MIDF itu adalah salah satu langkah strategik kerajaan memajukan sektor perindustrian negara dan memperkasakan daya saing usahawan tempatan.

Pendekatan itu akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran sektor swasta, menyumbang kepada pengurangan kadar kebergantungan industri kepada buruh asing dan menggalakkan industri meningkatkan penggunaan automasi dalam proses pengeluaran, kata beliau.

Tambah beliau, pembiayaan kewangan MIDF itu juga seiring dengan usaha kerajaan membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana yang disasarkan menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sasaran pada tahun 2020 sebanyak 41 peratus.

Usahawan-usahawan tempatan yang berminat untuk meningkatkan tahap daya saing dan inovatif syarikat melalui pembiayaan pinjaman MIDF disaran supaya menghubungi Jabatan Jualan Ibu Pejabat MIDF, Kuala Lumpur di talian 03 - 21738888 atau semua pejabat wilayah MIDF di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment