Friday, April 19, 2013

TH Serah Zakat Perniagaan Lebih RM3.3 Juta Kepada MAIDAM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) Khamis menyerahkan zakat perniagaan 2012 sebanyak RM3,300,636.83 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=943257
Published: April 19, 2013

Zakat itu disampaikan Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH Abdul Halim Md Jamil kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili MAIDAM di Istana Terengganu di sini.

Turut hadir Yang Dipertua MAIDAM Datuk Omar Pilus, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Mohd Rozali Saleh dan Pengarah Baitulmal Mohd Noor Mohamad.

Menurut kenyataan TH di sini, jumlah zakat untuk Terengganu bagi 2012 meningkat 5.4 peratus berbanding RM3,132,148.54 pada 2011.

"Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah RM41.2 juta dan Terengganu merupakan antara negeri tertinggi menerima jumlah zakat tahun itu," kata TH.

Pada majlis itu, TH turut menyampakan sumbangan Projek Baiti TH berjumlah RM350,000 bagi pembinaan lapan unit rumah baharu dan membaiki satu unit rumah untuk golongan asnaf fakir miskin terpilih dari seluruh Terengganu.

TH memperuntukkan sumbangan sebanyak RM2.52 juta untuk melaksanakan Projek Baiti TH bagi tahun lepas.

Projek Baiti TH merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang juga sebahagian daripada agihan zakat perniagaan TH untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin dan surau atau masjid.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment