Friday, April 19, 2013

SME Bank Of Russia Tumpu Kepada Sektor Inovasi

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- SME Bank of Russia memberikan tumpuan kepada usahawan-usahawan baharu Rusia yang mahu menceburi sektor inovasi, kata Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Kirill Semenov.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=943199
Published: April 19, 2013

Beliau berkata bank itu, yang mempunyai dana bernilai US$6.5 bilion serta mendapat sokongan daripada institusi-institusi kredit dan entiti undang-undang, akan melabur dalam sektor-sektor yang memberi manfaat kepada ekonomi Rusia.

"Kami bersikap memilih. Kami akan menyalurkan dana-dana itu ke sektor-sektor yang akan memberikan impak yang baik bagi ekonomi Rusia," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Kata beliau produk teknologi tinggi semakin banyak muncul di negeri-negeri dan wilayah, dan ini memberi implikasi penting pada peringkat persekutuan dari sudut bagaimana dasar-dasar ekonomi dan pekerjaan dibentuk.

Bulan lepas, bank itu membiayai projek berkaitan pemodenan yang dilaksanakan oleh Russian Mining and Pumping Co.

Semenov berkata bank itu memilih SME Bank Malaysia untuk menjalin kerjasama kerana kedua-duanya mempunyai sasaran dan objektif yang sama.

Beliau berkata SME Bank Malaysia terkenal sebagai bank pembangunan untuk membantu usahawan kecil dan sederhana (UKS) memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

"Kami nampak objektif SME Bank Malaysia sejajar dengan objektif kami," katanya.

Semenov, bersama dengan lima anggota perwakilan lain dari SME Bank of Russia, berada di Malaysia bagi lawatan selama tiga hari, berikutan satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua SME Bank itu pada September tahun lepas.

MoU itu bertujuan menetapkan satu platform bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara masing-masing.

Semenov berkata SME Bank of Russia berharap lawatan itu akan melengkapi usaha kerjasama kedua-dua pihak dan membuka ruang bagi pertukaran pendapat yang lebih banyak dan lebih kerap.

SME Bank of Russia ialah ejen bagi Vnesheconombank dalam pelaksanaan Program Membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Lebih 24,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana telah menerima pembiayaan daripada bank itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment