Sunday, April 14, 2013

MIDF sedia dana RM1b

MALAYSIAN Industrial Development Finance Bhd (MIDF) memperuntukkan dana berjumlah lebih RM1 bilion untuk disalurkan sebagai pinjaman kepada usahawan dalam pelbagai sektor ekonomi di seluruh negara tahun ini.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MIDFsediadanaRM1b/Article
Published: April 14, 2013

MIDF sedia dana RM1b
Mohd Najib Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF

Dana itu akan diagihkan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd itu menerusi lima skim pinjaman mudah yang dikendalikannya.

Skim itu ialah skim pinjaman mudah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan skim pinjaman mudah untuk automasi dan permodenan.

Tiga lagi skim lain ialah skim pinjaman mudah untuk pembangunan vendor automotif, skim pinjaman mudah bagi pemegang Permit Import (AP) terbuka beralih kepada perniagaan lain susulan pemansuhan permit itu menjelang 2015, dan skim pinjaman mudah usahawan dalam bidang perkhidmatan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Najib Abdullah, berkata peruntukan dana itu bertujuan memudah serta meningkatkan akses syarikat tempatan, khususnya PKS untuk mendapatkan pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka di dalam dan luar negara.

“Peruntukan dana ini juga selaras dengan matlamat kami untuk melahir dan membangunkan lebih ramai usahawan tempatan dalam perniagaan strategik dan berpotensi khususnya bidang automotif dan perkhidmatan untuk bersaing dengan lebih kompetitif dalam pasaran terbuka.

“Bantuan kewangan MIDF ini membolehkan PKS memperoleh aset tetap yang diperlukan untuk melaksanakan langkah inovatif dan kreatif serta memperbaiki keberkesanan, meningkatkan kemampuan dan kapasiti, mengurangkan pergantungan pada pekerja asing serta mengurangkan kos pengeluaran,” katanya dalam temubual di Kuala Lumpur semalam.

Temubual itu bersempena penganjuran Minggu Saham Amanah (MSAM) 2013 Edisi Khas yang bakal dianjurkan PNB di Dewan 2020, Kangar Perlis mulai 20 April ini.

Justeru, Mohd Najib berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak usahawan daripada sektor perkhidmatan mengambil faedah daripada skim bantuan kewangan yang ditawarkan itu.

“Kami di MIDF mahu mengagihkan dana berkenaan seberapa cepat yang mungkin untuk membantu usahawan tempatan ini mengembangkan jangkauan operasi perniagaan mereka,” katanya.

MIDF telah menyokong pertumbuhan dan pembangunan PKS sejak 1960 dengan menyediakan laluan pembiayaan kepada PKS dalam pengkomersialan projek dan pengembangan projek yang dikomersialkan.

Difahamkan, MIDF, setakat ini, sudah meluluskan pembiayaan lebih RM10.6 bilion kepada industri perkilangan dan perkhidmatan yang berada pada peringkat pertumbuhan dan fasa matang pada peringkat pengkomersialan.

Bahagian Kewangan Pembangunan MIDF menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat lain dengan dana yang diperuntukkan oleh kerajaan melalui program pinjaman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), SME Corp, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Sementara itu sepanjang seminggu MSAM 2013 Edisi Khas itu, selain menyediakan tapak pameran khas untuk usahawan memperoleh pelbagai maklumat mengenai skim pinjaman dan perkhidmatan yang ditawarkannya, MIDF akan turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma untuk membawa orang ramai mengunjungi pameran itu.

No comments:

Post a Comment