Sunday, April 28, 2013

MIDF bakal jadi bank Islam

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) sedang meninjau kemungkinan menjadikan anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MIDFbakaljadibankIslam/Article
Published: April 28, 2013

MIDF bakal jadi bank Islam
Menara MIDF adalah antara aset di bawah anak syarikat milik penuh PNB.

Sumber berkata, ia antara inisiatif penting dalam program transformasi MIDF yang bertujuan untuk mengetengahkan jenama dan peranannya sebagai penyedia perkhidmatan perbankan berlandaskan syariah, cekap, progresif dan lengkap. Katanya, ia juga bagi menyokong hasrat kerajaan untuk memantapkan daya saing dan kedudukan negara sebagai pusat kewangan Islam utama antarabangsa.

Dalam merealisasikan perkara itu, sumber berkata, cadangan berkenaan sedang diperhalusi pada peringkat pegawai kanan kumpulan.

Ia kemudian akan dikemukakan untuk diperincikan pada peringkat perbincangan rasmi dengan Lembaga Pengarah tidak lama lagi.

Penilaian (kajian daya maju) berhubung cadangan menjadikan MIDF sebagai bank Islam sepenuhnya dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat ini.

Kemudian, ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah untuk diperincikan lagi, dijangkakan sekitar suku ketiga atau keempat ini, katanya kepada BH di Kuala Lumpur. Sumber itu berkata, langkah melaksanakan operasi perbankan Islam sepenuhnya itu juga selaras matlamat PNB dan MIDF untuk menawarkan perkhidmatan perbankan dan kewangan yang menyeluruh kepada pelanggan.

Pembiayaan berlandas syariah

PNB mahu MIDF memenuhi keperluan pelabur dan pelanggan yang memerlukan pembiayaan berlandaskan syariah. Oleh itu, menerusi perbankan Islam sepenuhnya, MIDF mampu menawarkan produk perbankan komersial, takaful dan saudagar dalam satu pakej, katanya.

MIDF memulakan perniagaan 53 tahun lalu sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, membantu untuk membiayai perusahaan kecil dan sederhana.

Kini, ia menjadi syarikat kewangan yang lebih besar dengan menawarkan perkhidmatan dalam tiga bidang teras, iaitu perbankan pelaburan (IB), pembangunan kewangan dan pengurusan aset.

MIDF juga menyediakan pembiayaan berasaskan syariah kepada usahawan yang ingin melaksanakan projek baru, program pengembangan, pemodenan dan penempatan semula dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia.

Menurut sumber berkenaan, jika mesyuarat Lembaga Pengarah itu menghasilkan keputusan yang positif, PNB menerusi MIDF akan memohon lesen penuh daripada Bank Negara bagi membolehkannya mengendalikan perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam di negara ini.

Bank Islam sepenuhnya

Setakat ini, kami masih belum boleh menjelaskan butiran terperinci berhubung pelaksanaan operasi perbankan Islam ini memandangkan ia turut membabitkan perbincangan dengan wakil daripada Bank Negara.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan (perbincangan peringkat dalaman dan dengan wakil Bank Negara) yang positif setakat ini, kami berharap cadangan menjadikan MIDF sebagai bank Islam sepenuhnya itu dapat direalisasikan secara menyeluruh sama ada akhir tahun ini atau tahun depan, katanya.

Pengurusan kanan PNB dan MIDF bagaimanapun gagal dihubungi bagi mengulas perkara berkenaan.

No comments:

Post a Comment