Monday, October 15, 2012

Bank Rakyat tunggu keputusan Bank Negara

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) masih lagi menunggu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pelantikan Pengarah Urusan baharu bank koperasi itu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121013/ko_02/Bank-Rakyat-tunggu-keputusan-Bank-Negara
Published: October 15, 2012

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap BNM menyegerakan pelantikan jawatan nombor satu itu bagi mengelakkan sebarang spekulasi berlaku.

Menurutnya, beliau tidak tahu mengapa pelantikan orang kuat Bank Rakyat itu mengambil masa yang agak lama.

"Kita sudah lama menghantar nama calon dan kita harap sangat BNM tidak mengambil masa terlalu lama untuk melantik dan mengumumkan nama Pengarah Urusan Bank Rakyat yang baharu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menjawab demikian ketika ditanya mengenai spekulasi industri berhubung kelewatan pelantikan pengganti Datuk Kamaruzaman Che Mat yang telah bersara sejak akhir Februari lalu.
Sejak itu, jawatan berkenaan dipangku oleh Datuk Yusof Abdul Rahman.

Mengulas mengenai khabar angin kononnya berlaku konflik dalam calon yang bakal menduduki kerusi utama itu, Ismail Sabri berkata, meskipun Bank Rakyat tertakluk kepada Akta Institusi Pembangunan Kewangan 2002 (Dafia) tetapi berdasarkan polisi, Menteri yang terlibat mempunyai kuasa dalam pelantikan itu.

"Dan, sudah menjadi polisi Bank Rakyat untuk mengutamakan 'orang dalam' kerana barisan pengurusan bank ini mempunyai calon-calon yang layak.
"Kalau ada pihak yang beranggapan barisan pengurusan sedia ada tidak mampu menguruskan Bank Rakyat, sudah lama bank ini rugi.

"Tetapi hakikatnya tidak begitu, Bank Rakyat sebuah bank yang berjaya mengekalkan keuntungan serta mampu memberi dividen tertinggi," jelas beliau.

Menjawab pertanyaan, Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat tidak sama seperti bank-bank komersial yang lain kerana bank koperasi itu mempunyai tanggungjawab kepada ahli-ahli koperasi.
Malah, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Bank Rakyat akan kekal sebagai bank koperasi.

No comments:

Post a Comment