KUALA LUMPUR 10 Okt. - Malaysia menerusi Lembaga
Tabung Haji (TH) merupakan negara yang menawarkan pakej ibadah haji
termurah iaitu pada kadar RM9,980 seorang, berbanding kos lebih mahal
dikenakan di negara-negara jiran.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121011/pa_01/Tambang-haji-Malaysia-termurah
Published: October 11, 2012
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, TH telah menyalurkan subsidi sebanyak RM125 juta tahun ini
berbanding RM100 juta tahun lalu bagi mengekalkan harga berpatutan bagi
ibadah tersebut.
"Lembaga Tabung Haji telah mengekalkan kos bayaran haji untuk Jemaah
Muasassah (kali pertama) pada RM9,980 seorang walaupun tempoh berada di
tanah suci lebih daripada 40 hari.
"Jika dibuat perbandingan daripada maklumat negara jiran, Brunei
mengenakan bayaran haji RM18,000, Singapura RM18,000, Indonesia antara
RM15,000 hingga RM18,000 manakala Thailand antara RM16,000 hingga
RM18,000," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ismail bertanyakan perbandingan harga pakej ibadah haji yang
ditawarkan Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran lain serta
subsidi yang disalurkan oleh TH.
Menurut Jamil, walaupun kos sebenar haji telah meningkat kepada
RM15,150 seorang berikutan faktor tertentu seperti pengangkutan dan
penginapan, TH telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR)
untuk menyerap kos tersebut menerusi hasil keuntungan pelaburan dan
perniagaan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian)
berkenaan gaji tinggi yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif TH, Jamil
Khir berkata, gaji sebanyak RM85,000 sebulan itu mengambil kira harga
pasaran semasa dan kedudukannya sebagai pengerusi dalam kumpulan
syarikat-syarikat besar di bawah TH.
Beliau memberitahu, Lembaga Tabung Haji yang merupakan antara
institusi kewangan terunggul di dunia dengan menguruskan dana sebanyak
RM34 bilion merangkumi 7.8 juta orang pendeposit dan hampir sejuta
penyimpan.
"Saya suka maklumkan bukan sahaja negara-negara Islam, bahkan
baru-baru ini kita mendapat permohonan dari persatuan Kristian yang
ingin melihat contoh Tabung Haji diwujudkan sehingga mampu menguruskan
jemaah dan memberi subsidi," katanya.
Menjawab soalan lain, Jamil Khir memberitahu, TH telah pun memulakan
projek bagi membina sebuah kompleks jemaah haji baharu bertaraf hotel
berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini
bagi menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
Sementara itu, berhubung soalan tambahan daripada Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis),
Jamil Khir berkata, TH menyediakan khidmat kaunselor serta kumpulan
Sahabat Haji bagi membantu jemaah haji Malaysia yang mempunyai masalah
peribadi ketika berada di tanah suci.
No comments:
Post a Comment