Friday, October 5, 2012

Dana Industri Halal tingkatkan industri bagi pasaran eksport

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/dana-industri-halal-tingkatkan-industri-bagi-pasaran-eksport-1.91478

Published: October 05, 2012

KUALA LUMPUR - Dana Industri Halal berjumlah RM200 juta akan memainkan peranan dalam merangsang pertumbuhan industri halal bagi tujuan pasaran eksport, kata SME Bank hari ini.
  
SME Bank dalam satu kenyataan berkata ia akan bekerjasama dengan Bank Pembangunan Islam untuk menyediakan dana itu.
  
"Langkah tersebut juga dijangka mempercepatkan usaha mengantarabangsakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kompetitif di arena global," kata bank itu.
  
Mengenai Belanjawan 2013, bank itu berkata cabaran besar menanti usahawan PKS dalam memastikan pengeluaran produk halal berimpak tinggi.
  
"Ini sekali gus membuka jalan bagi akses kepada pasaran global. Walaupun peruntukan dijangka lebih tinggi, dana benih merupakan inisiatif baik oleh kerajaan untuk membolehkan negara bersaing dengan negara lain seperti Thailand dalam industri halal dunia dan merintis lagi industri hab halal global," kata bank itu.
  
Sementara itu, Dana Pembiayaan Bumiputera bernilai RM1 bilion akan membantu PKS Bumiputera membiayai pembelian unit syarikat berkaitan kerajaan bagi memastikan pegangan ekuiti kekal milik Bumiputera.
  
PKS yang menyertainya kelaknya akan mempunyai sumber modal bagi melaksanakan pembelian seumpama itu, kata bank tersebut.
  
"Ini akan menjadi tugas paling mencabar dalam konteks membina kapasiti dan keupayaan PKS Bumiputera dalam menerajui syarikat-syarikat ini dan kemudiannya mencapai penyenaraian di Bursa Malaysia," kata SME Bank.
  
Bank itu berkata program latihan dan perundingan profesional berkaitan pembelian, pengurusan dan tadbir urus korporat perlu diadakan bagi merealisasikan matlamat tersebut, termasuk program pasca pembelian yang menumpukan kepada pengukuhan prestasi. - Bernama

No comments:

Post a Comment