Wednesday, October 31, 2012

Bank Rakyat untung RM1.62b

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat RM1.62 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2012, meningkat 8.1 peratus berbanding RM1.5 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BankRakyatuntungRM1_62b/Article
Published: October 31, 2012

Prestasi baik itu secara keseluruhannya dicapai hasil peningkatan pendapatan aktiviti pembiayaan dan pelaburan, bertepatan dengan pertumbuhan pembiayaan dan depositnya.
Bank koperasi itu, dalam kenyataannya semalam berkata, sepanjang tempoh kajian, ia mencatatkan keuntungan bersih RM1.33 bilion, meningkat 10.5 peratus berbanding RM1.2 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama 2011.


“Pendapatan kasar meningkat sebanyak 15.2 peratus atau RM616.4 juta kepada RM4.68 bilion berbanding RM4.06 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit meningkat 8.5 peratus atau RM227.9 juta kepada RM2.92 bilion berbanding RM2.69 bilion dalam tempoh sama tahun lalu,” kata kenyataan itu.

Ia berkata, pendapatan daripada sumber pembiayaan meningkat 12 peratus atau RM399.2 juta kepada RM3.72 bilion berbanding RM3.32 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, apabila RM3.42 bilion atau 92 peratus disumbangkan perbankan pengguna manakala perbankan komersial menyumbang RM300 juta, atau lapan peratus daripada keseluruhan pendapatan pembiayaan.

“Bank Rakyat juga merekodkan pendapatan berasaskan yuran sebanyak RM83.4 juta dalam sembilan bulan pertama 2012.
“Pendapatan komisen takaful, wasiat dan yuran perkhidmatan ATM menyumbangkan 80.3 peratus daripada keseluruhan pendapatan berasaskan yuran,” katanya.

Jumlah aset bank itu dalam tempoh dikaji meningkat 10.8 peratus atau RM7.74 bilion kepada RM79.5 bilion daripada RM71.75 bilion tahun lalu.

Setakat akhir September 2012, pulangan ke atas asetnya terus mengukuh pada kadar 2.9 peratus.

Sementara itu, Bank Rakyat mencatatkan peningkatan 12 peratus atau RM5.99 bilion baki kasar pembiayaannya kepada RM55.71 bilion berbanding RM49.72 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Ia masih mengekalkan pembiayaan pengguna sebagai fokus utama perniagaan bank, apabila segmen itu menyumbang 89.2 peratus daripada keseluruhan pembiayaannya bagi sembilan bulan tahun ini.

Mutu aset Bank Rakyat keseluruhannya pula kukuh setakat akhir bulan lalu, apabila nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPK) kasarnya berada pada 2.9 peratus.

Pada masa sama, liputan atas kerugian pembiayaan kekal tinggi pada kadar 108.8 peratus.

Jumlah depositnya setakat akhir September pula meningkat 9.9 peratus kepada RM65.07 bilion, berbanding RM59.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Dana pemegang saham Bank Rakyat meningkat 32.1 peratus kepada RM9.83 bilion setakat akhir Septemb er 2012, berbanding RM7.44 bilion pada bulan sama tahun lalu.

Ia hasil sumbangan penambahan untung bersih dan penambahan modal saham berbayar.

Nisbah Modal Berwajaran Risiko (RWCR) kekal tinggi pada kadar 15 peratus manakala Nisbah Modal Teras (CCR) pada kadar 14.8 peratus.

No comments:

Post a Comment