Source from (Utusan Malaysia):
http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121009/wp_03/Dana-RM3-juta-baiki-rumah-asnaf-di-Pahang
Published: October 09, 2012
Yusof Abdul Rahman (baris depan tiga
dari kiri ) bersama pengurus-pengurus
cawangan dan keluarga Normah Hud
yang menerima sumbangan program
Bantuan Baikpulih rumah Bank Rakyat di
Kampung Kubang Panjang
Mengkarak, Bera, Pahang kelmarin.
BERA 8 Okt. - Bank Rakyat akan mewujudkan satu dana khas sebanyak RM3
juta pada tahun depan bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat
(CSR) institusi perbankan itu bagi membaiki rumah keluarga asnaf di
negeri ini.
Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Yusof Abdul Rahman
berkata, peruntukan khas antara RM25,000 sehingga RM35,000 diperuntukkan
untuk sebuah rumah tersebut sekali gus membantu keluarga terbabit
mendiami kediaman yang lebih selesa.
Jelasnya, ketika ini peruntukan sedemikian hanya diberi kepada
keluarga tertentu berdasarkan terhadap permintaan dan permohonan
daripada seperti ketua kampung, penghulu dan sebagainya.
"Pada tahun depan, pihak kami akan turun padang mencari individu atau
keluarga yang benar-benar layak mendapat bantuan berkenaan dengan
sokongan pentadbiran kampung.
"Kita tidak hanya berorientasikan keuntungan sahaja, tetapi
tanggungjawab itu tidak diabaikan selari dengan status sebagai bank
koperasi Islam terbesar di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis
penyerahan peruntukan bantuan baik pulih rumah keluarga Normah Hud
bersama Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung
Kubang Panjang, Mengkarak di sini semalam.
Menurutnya, di daerah ini sahaja, dua penerima telah mendapat bantuan
berkenaan iaitu seorang penduduk Kampung Durian Tawar, Abu Bakar
Abdullah berjumlah RM27,000 dan seorang lagi penduduk kampung tersebut,
Normah Hud sebanyak RM30,000.
Jelasnya, langkah itu adalah satu cara untuk membantu meringankan
beban golongan asnaf di negeri ini sesuai dengan operasi perbankan Bank
Rakyat.
"Sumbangan itu adalah selaras dengan saranan kerajaan supaya badan
korporat berbakti demi mewujudkan masyarakat prihatin dan penyayang,"
katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap lebih banyak badan korporat,
jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencontohi langkah
Bank Rakyat.
Katanya, Syarikat-syarikat tempatan perlu melihat tanggungjawab
korporat sebagai suatu peluang untuk maju dan bukannya sebagai suatu
bebanan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment