Monday, October 1, 2012

RM2.25b tingkatkan pertumbuhan PKS (SME Bank)

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RM2_25btingkatkanpertumbuhanPKS/Article

Published: October 01, 2012
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: SME Bank menyasar untuk memastikan dana RM2.25 bilion yang diperuntukkan menerusi Bajet 2013 disalurkan secara berkesan kepada kumpulan sasaran untuk meningkatkan pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata untuk tujuan itu, SME Bank akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, keseluruhan jumlah peruntukan yang disalurkan kerajaan itu merangkumi empat inisiatif strategik iaitu Dana Pembiayaan Bumiputera, Skim Pembangunan PKS, Dana Industri Halal dan Dana Usahawan Muda.

Ia adalah tanggungjawab besar yang perlu dipikul SME Bank dan kami akan menggandakan usaha untuk memenuhi hasrat dan mandat yang diberikan oleh kerajaan.

Apa yang lebih penting adalah mewujudkan PKS kompetitif dan terus memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), katanya kepada BH.

Peruntukan diagih

Daripada RM2.25 bilion yang diperuntukkan kerajaan, sejumlah RM1 bilion daripadanya adalah Dana Pembiayaan Bumiputera untuk membantu usahawan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan dikenal pasti untuk diambilalih.
Selain itu, RM1 bilion lagi adalah dana di bawah Skim Pembangunan PKS, manakala baki RM200 juta disediakan menerusi Dana Industri Halal untuk membiayai modal kerja PKS yang diuruskan SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam serta RM50 juta bagi Dana Usahawan Muda.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berharap SME Bank tidak mengenakan syarat terlalu ketat kepada usahawan PKS khususnya Bumiputera untuk mendapatkan pembiayaan berkenaan.

Katanya, sebelum ini institusi kewangan itu dikatakan kurang mesra dengan usahawan Bumiputera menyebabkan kebanyakan permohonan mendapatkan pinjaman untuk meluaskan perniagaan ditolak.

Sejak tahun 2000, kami menerima banyak aduan mengenai proses ketat dan kerenah birokrasi yang diamalkan SME Bank. Jadi IKHLAS mengharapkan perkara ini diperhalusi bank berkenaan, katanya.

Beliau berkata, insentif yang diumumkan kerajaan memberi impak besar kepada PKS, namun ia tidak akan bermakna jika ia gagal di peringkat pelaksanaan.

Harap SME Bank memberi sedikit kelonggaran kepada PKS khususnya Bumiputera untuk mendapatkan pinjaman menerusi pembiayaan yang diumumkan Bajet 2013, katanya.

No comments:

Post a Comment