Thursday, October 11, 2012

Kekal kos haji RM9,980

TABUNG Haji (TH) masih mengekalkan kos bayaran haji untuk Jemaah Muassassah (kali pertama) pada RM9,980 seorang walaupun tempoh berada di Tanah Suci lebih daripada 40 hari sedangkan kos bayaran haji sebenar RM15,150.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KekalkoshajiRM9_980/Article/index_html
Published: October 11, 2012

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, lebihan kos berkenaan adalah subsidi ditanggung oleh TH sebagai tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dapat diberikan hasil keuntungan pelaburan dan perniagaan TH.

Melihat kepada termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei, kadar kos bayaran haji dikenakan lebih tinggi jika dibandingkan jemaah haji pertama kali di negara ini dengan purata kos dikenakan antara RM15,000 hingga RM18,000 setiap jemaah.

“Seperti saya katakan, kos sebenar untuk mengerjakan haji bernilai RM15,150 pada tahun ini dan peningkatan kos RM25 juta pada tahun ini, berbanding kos sebanyak RM100 juta pada tahun lalu. Walaupun tambang kekal, tetapi ia membabitkan pe ningkatan lain-lain kos.

“Jika dibuat perbandingan dengan negara lain dalam kos jemaah haji yang pertama kali melakukan ibadah berkenaan seperti Brunei dan Singapura (RM18,000), Indonesia (RM15,000 dan RM18,000) serta Thailand (RM16,000 dan RM18,000),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin mengetahui mengenai jumlah subsidi diberikan kerajaan kepada jemaah haji, selain perbandingan kos haji berbanding negara-negara jiran yang lain.

Jamil Khir turut diajukan soalan tambahan oleh Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) mengenai usaha dilakukan TH dalam mengendalikan jemaah yang berdepan pelbagai cabaran serta mengalami gangguan perasaan ketika di Tanah Suci.

Menjawab soalan berkenaan, Jamil Khir berkata, menerusi laporan disiarkan mengenai jemaah haji di Tanah Suci banyak perkara dibincangkan termasuk isu dihadapi jemaah muassassah terpaksa berpisah dengan pasangan masing-masing.

“Dalam mendepani isu seperti itu, TH mempunyai bilik berkat khusus kepada pasangan suami isteri. Kita juga mempunyai kumpulan dikenali Sahabat Haji yang boleh membantu memberi kaunseling kepada jemaah bermasalah,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, TH sentiasa berusaha memberikan pulangan simpanan deposit yang kompetitif dan pada tahun lalu TH sudah membayar bonus enam peratus kepada pendeposit.

No comments:

Post a Comment