MADINAH - ARAB SAUDI. Kerajaan Arab Saudi akan membangunkan Madinah
seperti apa yang dilakukan di Makkah pada masa ini bagi memberikan
khidmat terbaik kepada umat Islam di seluruh dunia yang datang ke dua
tanah suci itu bagi menunaikan haji, umrah dan ziarah.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/global/madinah-dinaik-taraf-lepas-musim-haji-1.186652
Published: July 28, 2013
Proses menaik taraf besar-besaran bandar Madinah terutama Masjid Nabawi akan bermula sebaik sahaja selepas musim haji tahun ini.
Timbalan Pengurus Besar (Madinah) Kementerian Haji Mohammad Al-Arabi
berkata berikutan usaha pembangunan tiga tahun bermula di Makkah selepas
musim haji tahun lalu, proses menaik taraf yang sama akan dijalankan di
Madinah.
" Seperti yang anda semua tahu ada projek hebat di Makkah, pembesaran
Masjidil Haram, kini tiba masa bagi Madinah (Masjid Nabawi). Projek
pembesaran itu sudahpun diluluskan Raja Abdullah.
Melalui projek pembesaran itu, Masjid Nabawi akan dapat menampung 1.6 juta jemaah berbanding 800,000 orang sebelum ini.
" Ia berterusan secara selari. Ia merupakan pembesaran sepenuhnya.
Proses awal sebenarnya telah bermula. Ia akan diteruskan tanpa
mengganggu mereka yang tinggal di Madinah," katanya kepada wartawan
Malaysia di sini.
Sebelum itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan
Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.
Makkah kini dibangunkan secara besar-besaran. Ini membabitkan
pembesaran Masjidil Haram termasuk meruntuhkan sebahagian masjid itu
bagi memperbesar ruang solat.
'Mataf', satu kawasan sekitar Kaabah, juga akan diperluaskan bagi
membolehkan bilangan jemaah melakukan tawaf sekeliling Kaabah
ditingkatkan kepada 130,000 berbanding 48,000 sebelum ini.
Berikutan kerja menaik taraf kemudahan haji di Makkah, Arab Saudi
terpaksa mengurangkan bilangan jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini
sebanyak 20 peratus dan 50 peratus jemaahnya bagi memastikan keselamatan
dan keselesaan jemaah haji.
Sementara itu, Al-Arabi berkata Kementerian Haji mendapatkan pandangan
dari jemaah haji sebelum ini dan akan berusaha meningkatkan khidmatnya
bagi musim haji tahun ini.
" Tahun ini kami beri perhatian terutamanya bagaimana kita mahu jemaah
haji benar-benar berpuas hati. Kami mahu berada lebih dekat dengan
jemaah..terutamanya mengenai hal ehwal haji. Kami akan memberi perhatian
kepada mereka sebagai pelanggan kami.
" Kami benar-benar mahu perjalanan mereka selamat. Kami juga tidak mahu
mereka menghabiskan masa berkenaan prosedur terutama di lapangan
terbang dan kaunter pertanyaan. Kami mahu mereka terus sahaja ke tempat
penginapan mereka.Kami hanya mahu mereka berasa begitu dekat dengan
Allah. Jemaah yang datang dari seluruh dunia hanya mahu mencapai
matlamat ini," katanya.
Katanya sebagai sebahagian daripada proses meningkatkan perkhidmatan,
mereka mahu berada dekat dengan jemaah haji dan juga ingin tahu kesan
dan nilai perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah selain mendengar
pandangan jemaah haji.
Mengenai kerjasama di antara kementerian dan Tabung Haji, Al-Arabi
berkata beliau benar-benar bangga dengan kerjasama antara kedua pihak
itu yang telah dapat membantu ramai rakyat malaysia menunaikan ibadah
haji.
" Kami dengar pandangan mereka (Tabung Haji) dan mereka mendengar pandangan kami," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment