Monday, July 22, 2013

Tabung Haji Hadapi Kekangan Undang-Undang Untuk Miliki Hartanah Di Makkah, Madinah

MAKKAH, 22 Julai (Bernama) -- Dasar dan undang-undang kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan warga asing memiliki aset bangunan dan hartanah di Makkah dan Madinah adalah punca mengapa Tabung Haji selama ini hanya memajak bagi jangka panjang dan pendek hartanah di kedua-dua tanah suci itu.

Source from (Bernama): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PeraturanhalangTabungHajimilikihartanahdiMakkah_Madinah/Article
Published: July 22, 2013

Source from (Berita Harian): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=965079



"Bukan tak ada perancangan (miliki hartanah di Makkah dan Madinah). Perancangan ada. Cuma kita ada kekangan dari segi undang-undang...bukan warga Arab Saudi tidak boleh miliki hartanah," jelas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.

Sehubungan itu, Tabung Haji sentiasa mencari peluang memajak bangunan-bangunan terutama bagi penginapan di Makkah dan Madinah untuk digunakan jemaah Haji Malaysia, katanya, ketika menjelaskan kenapa selama ini Tabung Haji hanya memajak bangunan tetapi tidak memiliki hartanah di Makkah dan Madinah.

"Bangunan penginapan itu kita boleh boleh guna untuk umrah di luar musim haji juga. (Menerusi pajakan jangka panjang sehingga 25 tahun) Dalam sistem perundangan mereka, hotel itu kita yang punya. Boleh guna di luar dan ketika musim haji," katanya. Ismee berkata ketika ini Tabung Haji membuat pajakan jangka panjang melibatkan dua hartanah di Madinah dan satu di Makkah selain beberapa bangunan lain yang disewa pada musim haji.

"Tiga hartanah yang dipajak secara jangka panjang itu pun baru kita buat sejak 2008, 2009 kerana sebelum itu kita hanya pajak untuk kegunaan musim haji," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pajakan jangka masa panjang ini dapat memberikan tempat penginapan yang selesa untuk jemaah haji dan secara tidak langsung mampu membendung kos perbelanjaan mengerjakan haji ke paras yang paling rendah di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata Tabung Haji sentiasa mahu memastikan jemaah haji Malaysia tinggal di kawasan yang hampir dengan Masjidil Haram walaupun tempat penginapan yang dekat dengan masjid memerlukan kos tinggi. "Jarak mustahak (antara tempat penginapan dan masjid). Sentiasa ada permintaan untuk penginapan. Yang dekat masjid sudah semestinya mahal," jelas beliau.

Ismee berkata Jabatan pelaburan Tabung Haji sentiasa kena kaji selidik mengenai perundangan dan peraturan di sini (Arab Saudi). Apa peluang yang kena buat.

Tahun-tahun akan datang kita akan tengok kaedah yang boleh dibuat," katanya.

Beliau berkata perkembangan pesat yang berlaku di Makkah sejak 2007 menyebabkan kos penginapan semakin meningkat.

"(Kenaikan kos penginapan) hanya berlaku kebelakangan ini. Ada(penginapan) yang kita bayar pada 2007, 2008 kini suddah jadi lebih daripada berganda. Di Madinah agak stabil," katanya.

Beliau berkata bagi penginapan di Madinah, Tabung Haji tidak ada masalah kerana jemaah masih dapat ditempatkan di tempat penginapan dalam jarak 150 meter dari Masjid Nabawi manakala di Makkah, jemaah akan tinggal dalam jarak 600 hingga 950 meter dari Masjidil Haram.

"Kami cuba elakkan jemaah untuk tinggal di hotel lebih satu kilometer. Ketika ini banyak kerja pembangunan dijalankan di kota Makkah dan banyak bangunan dan hotel berdekatan masjid dirobohkan, tetapi kita masih dapat kekalkan penginapan dalam jarak tidak lebih 950 meter," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment