Saturday, July 14, 2012

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Sedia ubah model perniagaan

KUALA LUMPUR 13 Julai - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) sudah bersedia untuk mengubah model perniagaanya kepada lebih komersial dengan syarat Bank Negara Malaysia (BNM) lebih bersedia memberi kelonggaran terhadap beberapa prosedur.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm
Published: July 14, 2012

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perubahan model perniagaan Bank Rakyat memang suatu keperluan oleh bank koperasi itu bagi memastikan kelangsungan operasinya jangka panjang.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu sukar dilaksanakan memandangkan usahanya untuk mempelbagai produk dan peluasan operasi masih lagi dikekang oleh Bank Pusat.

"Bank Rakyat perlu pelbagaikan aktiviti tidak lagi boleh bergantung kepada perbankan runcit dan sebab itu Bank Rakyat mahu meningkatkan segmen perniagaan korporatnya.

"Seperti bank-bank lain, Bank Rakyat mahu menawarkan akaun semasa, memiliki perniagaan takaful, meluaskan Ar-Rahnu, melaksanakan pengambilan alih bank-bank kecil di luar negara tetapi kami tidak boleh dilaksanakan kerana terikat dengan BNM," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai perubahan model perniagaan Bank Rakyat untuk menjadikan ia lebih kompetitif.

Ismail Sabri berkata, perniagaan terbesar Bank Rakyat kini masih lagi pinjaman peribadi tetapi mengakui bank itu tidak boleh bergantung selama-lamanya memandangkan persaingan dalam industri perbankan negara cukup sengit.

Beliau turut memberi jaminan bahawa status Bank Rakyat sebagai bank koperasi tidak akan tergugat sedikit pun dengan model perniagaan baru bank berkenaan.

Sebaliknya, katanya, seandainya BNM melonggarkan syarat kepada Bank Rakyat dalam operasinya, bank itu mungkin mampu melangkah jauh lebih baik, sekali gus bersaing dengan bank-bank komersial yang lain.

"Statusnya (bank koperasi) akan kekal tetapi dengan penambahbaikan dalam model akan menjadikan Bank Rakyat jauh lebih baik dan maju pada masa depan.

"Ini bukan sahaja menjadi impian saya, lembaga pengarah, barisan pengurusan Bank Rakyat tetapi kami juga membawa mandat ahli-ahli Bank Rakyat yang mahu melihat prestasi bank itu dengan lebih baik," tegas Ismail Sabri.

Berhubung isu pelantikan peneraju Bank Rakyat, beliau berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada BNM.

Meskipun pelbagai spekulasi mengenai identiti calon jawatan nombor satu itu, Ismail Sabri tetap mahu kerusi itu diisi oleh 'orang dalam' Bank Rakyat.

"Penambahbaikan model perniagaan bank itu tidak akan terjejas dengan mengambil 'orang dalam' kerana bagi saya 'orang dalam' lebih memahami Bank Rakyat.

"Kalaupun Bank Rakyat kekurangan bahagian atau kepakaran dalam segmen-segmen tertentu, kita masih belum terlambat mewujudkan segmen berkenaan.

"Bagi saya cadangan untuk memasukkan 'orang luar' ke dalam Bank Rakyat akan hanya menjatuhkan moral kakitangan bank ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment