Friday, July 13, 2012

Agrobank sasar biayai Paddy-i RM50 juta setahun

AGROBANK menyasarkan pembiayaan RM50 juta dalam tempoh setahun untuk produk terbarunya, Paddy-i yang bertujuan mengurangkan bebanan kewangan kepada pesawah di negara ini.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AgrobanksasarbiayaiPaddy-iRM50jutasetahun/Article/index_html

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, sasaran itu membabitkan 10,000 peminjam di seluruh negara.

Beliau berkata, Paddy-i dan satu lagi produk terbaru Agrobank, Paddy Cash-i adalah konsep pembiayaan berasaskan syariah yang bukan saja boleh disalurkan untuk tanaman padi, malah boleh digunakan untuk keperluan peribadi seperti pendidikan anak-anak.

“Paddy-i adalah penambahbaikan kepada Skim Kredit Padi konvensional yang menawarkan pembiayaan modal pusingan sehingga RM2,500 sehektar dengan jumlah pembiayaan antara RM1,000 hingga RM50,000.

“Kadar keuntungan Paddy-i ialah 3.20 peratus semusim atau enam bulan bagi aktiviti tanaman padi di kawasan sawah yang disahkan agensi kerajaan berkaitan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kedua-dua produk itu oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Tanjung Karang, Selangor, semalam.

Paddy Cash-i ialah pembiayaan mudah kepada pesawah untuk membiayai keperluan harian seperti membeli atau menyewa tanah, menyewa atau memajak tanah sawah, meratakan tanah sawah, membeli jentera pertanian dan lain-lain kegunaan. Jumlah pembiayaan adalah antara RM3,000 dan RM50,000 dengan kadar keuntungan 3.10 peratus atas kadar pembiayaan asas dengan tempoh maksimum selama tujuh tahun atau 14 musim. Wan Mohd Fadzmi berkata, konsep pembiayaan Paddy-i dan Paddy Cash-i adalah unik kerana ia disediakan khas untuk pesawah yang berdaftar dengan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan tiada cagaran dikenakan manakala had umur peminjam pula sehingga 70 tahun bagi Paddy-i dan 65 tahun bagi Paddy Cash-i. - Bernama

No comments:

Post a Comment