Saturday, July 21, 2012

Tabung Haji Ada RM3.5b lagi

Tabung Haji, yang sedang memuktamadkan pengambilalihan harta komersial pertamanya di London, masih mempunyai wang untuk membuat pembelian pada masa depan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AdaRM3_5blagi/Article/index_html
Published: July 21, 2012

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail berkata, Tabung Haji hanya menggunakan separuh daripada RM7 bilion yang diperuntukkan untuk membeli hartanah di Malaysia dan luar negara. Beliau berkata, dana RM7 bilion itu adalah 20 peratus daripada keseluruhan dana yang diuruskan oleh Tabung Haji yang kini berjumlah RM35 bilion.

“Saya rasa kita masih belum cukup melabur. Pelaburan dalam hartanah belumpun mencecah RM7 bilion. Tumpuan kita, pertama, ialah terhadap harta di Malaysia dan kita sudah mula melakukannya sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Katanya, baki peruntukan sebanyak RM3.5 bilion mungkin tidak habis digunakan keseluruhannya tahun ini meskipun ada banyak harta berdaya maju yang ditawarkan.

Mengenai cadangan membeli bangunan komersial di London, beliau berkata, urus niaga itu yang dianggarkan bernilai 165 juta pound, dijangka selesai menjelang September ini. “Di United Kingdom, kita mahu membeli bangunan komersial tetapi bukan hotel atau perumahan kerana kita akan mendapat jangkaan pulangan sewaan yang munasabah dan jangka sewaan yang panjang.

“Berdasarkan analisis pelaburan tabung itu, pelaburan di London, jika dibiayai sepenuhnya melalui tunai, pulangan yang dijangkakan ialah sekurang-kurangnya 5.2 hingga 5.5 peratus setahun,” katanya sambil menambah selain London, Tabung Haji juga giat mencari peluang untuk melabur dalam hartanah di Makkah dan Madinah serta Jeddah, Arab Saudi.


Ismee berkata, Tabung Haji kini meraih pendapatan berulang daripada pajakan Hotel Hajar Towers di Mekah selama 25 tahun dan pajakan Hotel Movenpick di Madinah selama 10 tahun. Ketika ini, Tabung Haji memiliki beberapa mercu tanda di Kuala Lumpur, termasuk bangunan Tabung Haji, TH Selborn, Menara Tabung Haji di Platinum Park serta bangunan pejabat butik 13 tingkat Bangsar. - Bernama

No comments:

Post a Comment