Friday, July 6, 2012

TERAJU, SME Bank bekerjasama wujud dana teras RM500 juta

PETALING JAYA - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan bekerjasama dengan SME Bank mewujudkan kemudahan pinjaman baharu bernilai RM500 juta bagi membantu syarikat Bumiputera di bawah program Teras, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/teraju-sme-bank-bekerjasama-wujud-dana-teras-rm500-juta-1.64150
Published: Monday July 06, 2012

Beliau berkata Dana Teras itu disasarkan untuk memudahkan pengembangan perniagaan syarikat Bumiputera yang mencatatkan prestasi cemerlang dan akan dibuka bagi permohonan bulan depan.
Di bawah Dana Teras itu yang dibuka kepada syarikat Teras dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS), SME Bank akan menawarkan kemudahan pinjaman sehingga RM20 juta bagi setiap syarikat bagi membantu pengembangan perniagaan menerusi modal kerja dan pembiayaan membeli aset.

"Kami akan memperuntukkan RM150 juta bagi berian pinjaman modal kerja, di mana sesebuah syarikat boleh meminjam antara RM1 juta hingga RM10 juta. Sebanyak RM350 juta diperuntukkan bagi pembiayaan membeli aset yang membolehkan sesebuah syarikat memohon pinjaman sehingga RM20 juta.

"Kami menjangkakan sambutan baik daripada kira-kira 130 syarikat yang ketika ini berada di bawah program Teras. Ini kerana pinjaman itu tidak akan mempunyai perjanjian cagaran yang sangat ketat, berbanding bank-bank perdagangan lain.

"Jika boleh, kami menjangka bayaran pinjaman itu akan dikeluarkan sepenuhnya dalam masa setahun," kata Nor Mohamed kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat antara TERAJU dan lima koridor ekonomi negara di sini, hari ini.

Beliau berkata kemudahan pinjaman itu juga boleh menggalakkan lebih banyak syarikat menyertai program Teras dan mendapat manfaat daripada faedah tambahan yang diberikan.

Teras, yang disasarkan untuk merangsang pembabitan syarikat Bumiputera dalam ekonomi negara, merancang mendapatkan 1,100 syarikat di bawah naungannya pada Julai 2014, ulang tahun ketiga program itu.

Setakat ini, terdapat 130 syarikat Bumiputera dengan potensi pertumbuhan baik di bawah program tersebut, yang juga membantu mereka berkembang di luar dari pasaran tempatan di samping memudahkan akses kepada peluang perniagaan.

Mengenai perkembangan lain, Nor Mohamed berkata RM500 juta daripada Dana Mudahcara bernilai RM2 bilion akan dibahagikan sama rata di kalangan lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak dan Koridor Pembangunan Sabah.

Nor Mohamed berkata dana itu yang diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu syarikat Bumiputera, akan mempunyai capaian lebih meluas menerusi koridor-koridor tersebut.
"Koridor ini mengetahui dengan lebih baik syarikat dan kepakaran tempatan mereka. Oleh itu adalah wajar bagi mereka untuk menggalak dan meningkatkan pengambilan dana ini.

"Perdana Menteri juga bersetuju menurunkan minimum kos projek kepada RM5 juta daripada RM20 juta sebelumnya.

"Ini kerana daripada penyelidikan yang dijalankan, kebanyakan projek yang diusahakan syarikat Bumiputera bernilai antara RM5 juta hingga RM30 juta," katanya.

Dana Mudahcara itu diwujudkan menerusi kerjasama antara TERAJU dan Unit Perkongsian Awam Swasta, satu bahagian di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dana itu juga merupakan sebahagian daripada Dana Mudahcara bernilai RM20 bilion, yang diperuntukkan oleh kerajaan di bawag Rancangan Malaysia Ke-10. - Bernama

No comments:

Post a Comment