Friday, July 13, 2012

Tabung Haji sasar dividen tinggi

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TabungHajisasardividentinggi/Article

Published: July 12, 2012

Tabung Haji menjangka dapat mengagihkan dividen lebih tinggi kepada pendepositnya tahun ini susulan pulangan menarik diraih daripada pelaburannya serta hasil penjualan pegangannya dalam syarikat perladangan di Indonesia.

Ia mencerminkan usaha lembaga itu memastikan modal pendeposit terus dilindungi, pada masa sama memberikan mereka pulangan menarik, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail. Beliau memberitahu BERNAMA pada temu bual baru-baru ini, Tabung Haji memastikan semua pelaburan yang dibuatnya akan memberikan pulangan.

“Tahun lalu, kami mengisytiharkan dividen enam peratus. Diharapkan kami boleh mengekalkan prestasi itu.

“Kami berusaha keras memastikan wang pendeposit serta modal dilindungi dan memastikan mereka mendapat pulangan yang baik,” katanya.

Ismee berkata, pulangan tinggi daripada pelaburan membolehkan Tabung Haji terus menyerap sebahagian kos mengerjakan haji rakyat Malaysia yang meningkat setiap tahun.

Tahun ini, katanya, subsidi bagi setiap jemaah naik kepada RM5,175 daripada RM4,320 tahun lalu susulan peningkatan kos penginapan, pengangkutan dan kos berkaitan, namun pendeposit yang mengerjakan haji kali pertama masih dikenakan bayaran RM9,980 bagi pakej haji, tidak pernah berubah sejak 2009.
Jangka panjang

Beliau berkata, pelaburan hartanah Tabung Haji di Makkah juga strategi jangka panjang mengurangkan kos mengerjakan haji kerana ia boleh menggunakan pulangan daripada pelaburan itu sebagai subsidi.

Mengenai penjualan 95 peratus pegangan Tabung Haji dalam PT TH Indo Plantations bernilai RM3 bilion, Ismee berkata, pembelinya diberi sehingga akhir Ogos ini menyiapkan proses kajian terperinci.

“Sudah tentu penjualan itu akan dimasukkan sebagai perkara luar biasa bagi tahun ini dan jelas sekali kami akan memperoleh keuntungan besar daripadanya.

“Kami akan mengisytiharkannya sebagai dividen kepada pendeposit, ia akan diterjemahkan kepada dividen tinggi," katanya.

Beli pegangan

Tabung Haji membeli pegangan dalam syarikat di Indonesia yang memiliki ladang seluas 83,879 hektar di Riau, Sumatera itu pada harga antara RM800 juta hingga RM1 bilion pada 1997.

Tabung Haji turut merancang menggunakan hasil jualan itu untuk meningkatkan penerokaannya dalam perladangan dan menyasar Malaysia dan Indonesia bagi kemungkinan pelaburan baru.

"Perladangan adalah satu daripada sektor yang mana Tabung Haji akan terus mengembangkan pembabitannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment