Friday, July 20, 2012

1MDB taja lebih ramai bakal haji tahun ini

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Published: July 20, 2012


Najib Tun Razak memakaikan kopiah kepada Tokoh Imam Kebangsaan 2011, 
Sheikh Roslan Abd. Halim, Imam Masjid Zahir, Kedah pada Majlis Perhimpunan 
Perdana Warga Imam dan Jawatankuasa Masjid Seluruh Negara di Taman Ekspo 
Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam.

KUALA LUMPUR 19 Julai - Seramai 400 orang imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mendapat tajaan menunaikan ibadat haji di bawah Program Khas Haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih ramai imam dan pengerusi JKKK berpeluang mengerjakan haji di Mekah pada musim ini berbanding hanya seramai 111 orang tahun lalu.

Menurut beliau, kerajaan prihatin dengan kesulitan yang dihadapi oleh imam-imam yang kurang berkemampuan untuk membiayai kos menunaikan haji.

“Sedih saya tengok, sebab itu kita naikkan jumlah kepada 400 orang terdiri daripada seramai 200 imam dan 200 pengerusi JKKK mulai tahun ini.

“Insya-Allah, kita akan meneruskan program ini pada tahun-tahun akan datang supaya semua imam dapat peluang untuk menunaikan ibadat haji sekiranya mereka tidak berkemampuan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Warga Imam dan Jawatankuasa Masjid Seluruh Negara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Tokoh Imam Kebangsaan 2011, Sheikh Roslan Abd. Halim.

Lebih 11,000 imam dan ahli jawatankuasa masjid dari seluruh negara hadir untuk mendengar amanat dan pengumuman yang disampaikan oleh Perdana Menteri pada perhimpunan yang julung-julung kali dianjurkan itu.

Najib turut mengumumkan pemberian kain untuk dibuat jubah kepada seramai 14,254 imam dan 138,746 ahli jawatankuasa masjid di seluruh negara.

Jelas beliau, kain berkualiti tinggi itu dipilihnya sendiri agar dapat dijadikan jubah oleh imam dan ahli jawatankuasa masjid serta dipakai pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Selain itu, katanya, semua masjid dan surau yang diberi tauliah untuk menganjurkan solat Jumaat di seluruh negara akan dibekalkan air zamzam dan kurma.

No comments:

Post a Comment