Monday, July 9, 2012

BSN agih 19 van jenazah

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm

Published: July 09, 2012
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Mohd. Sofi Mat Jahaya (dua dari kanan) menyampaikan 
replika kunci van jenazah kepada Mohamad Noordin Awang 
pada Majlis Penyampaian Van Jenazah kepada Masjid Al-Husna 
di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 8 Julai - Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mengagihkan sebanyak 19 van jenazah di beberapa masjid terpilih di seluruh negara pada tahun ini melibatkan peruntukan RM2.26 juta.

Ketua Jabatan Perbankan Islam BSN, Mohd. Sofi Mat Jahaya berkata, van jenazah itu akan diagihkan secara berperingkat bagi membantu memudahkan pengurusan jenazah di setiap kawasan terbabit.
Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada zakat institusi kewangan tersebut yang bernilai RM4.75 juta pada tahun lepas.

"Ini merupakan tanggungjawab sosial syarikat kami kerana selain merupakan sebuah institusi kewangan dan perbankan, kami juga amat prihatin terhadap masyarakat," katanya selepas Majlis Penyampaian Van Jenazah kepada Masjid Al-Husna, Kampung Wakaf Sena, di sini semalam.

Van tersebut diserahkan Pengurus BSN Kelantan, Mohd. Zulkefli Mohd. Daud kepada Pengerusi Masjid Al-Husna, Mohamad Noordin Awang dan turut disaksikan imam masjid terbabit, Mat Isa Omar.

Masjid tersebut merupakan salah sebuah masjid yang memohon dan memenuhi kriteria untuk menerima van jenazah itu bagi keperluan penduduk setempat.

Pada majlis itu juga, pengurusan masjid berkenaan mendepositkan hasil tabung masjid Al-Husna dan Badan Kebajikan serta Khairat Kematian sebanyak RM30,000 ke akaun BSN.

Mohd. Sofi menambah, selain pemberian van jenazah itu, BSN turut mengagihkan sebahagian wang zakat yang diperoleh kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) untuk diserahkan kepada penerima melibatkan anak yatim, orang kurang upaya serta warga emas di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment