Saturday, July 7, 2012

SME Bank - Dana RM500j

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DanaRM500j/Article/index_html

Published: Monday July 07, 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) mengumumkan kerjasamanya dengan SME Bank bagi mewujudkan kemudahan pembiayaan unik sebanyak RM500 juta untuk membantu syarikat Bumiputera yang menyertai program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kemudahan pembiayaan dipanggil Pembiayaan Teras itu, SME Bank akan menawarkan kemudahan pinjaman sehingga RM20 juta bagi setiap syarikat bagi membantu pengembangan perniagaan menerusi modal kerja dan pembiayaan membeli aset.

“Pembiayaan ini disasarkan untuk memudahkan pengembangan perniagaan syarikat Bumiputera yang mencatatkan prestasi cemerlang dan akan dibuka bagi permohonan mulai bulan depan.

“Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi pemberian pinjaman modal kerja apabila sesebuah syarikat boleh meminjam antara RM1 juta hingga RM10 juta. “RM350 juta diperuntukkan bagi pembiayaan membeli aset yang membolehkan sesebuah syarikat memohon pinjaman sehingga RM20 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Teraju dan lima koridor ekonomi negara di Petaling Jaya, semalam.

Beliau berkata, pinjaman berkenaan tidak akan mempunyai perjanjian cagaran yang sangat ketat berbanding bank perdagangan lain, sekali gus menjangkakan sambutan baik daripada kira-kira 130 syarikat yang ketika ini berada di bawah program Teras.

“Kemudahan pinjaman ini boleh menggalakkan lebih banyak syarikat menyertai program Teras dan memperoleh manfaat daripada faedah tambahan yang diberikan. Kami turut menjangkakan bayaran pinjaman itu akan dikeluarkan sepenuhnya dalam tempoh setahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment