Friday, July 20, 2012

Baki dana beli hartanah RM3.5 bilion

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BakidanabelihartanahRM3_5bilion/Article

Published: July 20, 2012

Tabung Haji tidak labur sepenuhnya tahun ini
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (LTH), yang sedang memuktamadkan pembelian hartanah komersial pertamanya di London, masih mempunyai dana untuk membuat pembelian hartanah lain pada masa akan datang. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail, berkata LTH hanya menggunakan separuh daripada RM7 bilion yang diperuntukkan bagi membeli hartanah di Malaysia dan luar negara.
Dana RM7 bilion itu adalah 20 peratus daripada keseluruhan dana diuruskan LTH yang kini mencecah RM35 bilion.

“Saya rasa kita masih belum cukup melabur. Pelaburan dalam hartanah belum mencecah RM7 bilion. Tumpuan kita, pertamanya, ialah hartanah di Malaysia dan kita sudah mula melabur sejak tiga tahun lalu,” kata beliau pada satu temu bual.

Pelaburan di London
Ismee berkata, baki peruntukan RM3.5 bilion, mungkin tidak akan dilaburkan sepenuhnya pada tahun ini meskipun ada banyak hartanah berdaya maju yang ditawarkan.
“Bangunan memang banyak, tetapi kita perlu berhati-hati dalam penilaian kita sebelum membelinya.

“Setiap tahun, kita kena memberi pulangan yang berdaya saing, jadi kita akan sentiasa mengkaji pelaburan yang boleh memberi pulangan berulang.

“Saya yakin sektor hartanah adalah sektor yang menjanjikan pulangan yang berulang setiap tahun,” katanya.

Mengenai cadangan membeli bangunan komersial di London, beliau berkata, urus niaga itu yang dianggarkan £165 juta (RM210.27 juta), dijangka selesai menjelang September ini.

Bangunan komersial
“Di United Kingdom, kita mahu membeli bangunan komersial tetapi bukan hotel atau perumahan kerana kita akan mendapat jangkaan pulangan sewaan munasabah dalam jangka panjang.

“Macam bangunan yang kita sedang kaji ini, jangkaan sewaannya adalah selama 13 tahun. Inilah jenis harta yang kita cari bagi pelaburan hartanah,” jelas beliau.

Ismee berkata, berdasarkan analisis pelaburan LTH, pelaburan di London, jika dibiayai sepenuhnya melalui tunai, unjuran pulangannya adalah berdaya saing iaitu sekurang-kurangnya 5.2 hingga 5.5 peratus setahun.

Hartanah di Makkah
“Kita akan menggunakan wang tunai, tetapi mungkin membiayai semula pembelian itu melalui pinjaman bank.

“Ini pembelian pertama kita, jadi saya rasa kita akan lakukannya secara berperingkat,” katanya.

LTH giat mencari peluang melabur dalam hartanah di Makkah dan Madinah serta Jeddah di Arab Saudi.

Ismee berkata, Arab Saudi tidak membenarkan bukan warga negaranya memiliki harta di Makkah dan Madinah, jadi pelaburan Tabung Haji mesti melalui pajakan jangka panjang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment