Thursday, July 11, 2013

Penoreh Getah Menang Hadiah Utama Cabutan Sijil Simpanan Premium

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Seorang penoreh getah, Abdullah Wahab, 63, dari Raub, Pahang memenangi hadiah utama cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) iaitu sebuah kereta mewah BMW 520i.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=962407
Published: July 11, 2013

Majlis cabutan SSP bagi bulan Jun yang berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak pada 29 Jun turut menyaksikan dua lagi pemenang masing-masing memenangi Perodua Myvi 1.5 dan baucar barangan kemas bernilai RM5,000.

Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Korporat BSN Rabu, hadiah berkenaan merupakan usaha berterusan BSN dalam menggalakkan tabiat menyimpan di samping berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

SSP merupakan produk simpanan patuh syariah yang berlandaskan konsep Mudaharabah iaitu perkongsian keuntungan.

Sementara itu, Seraya Sulaiman memenangi cabutan bagi peringkat negeri Sarawak dengan hadiah sebuah kereta Perodua Viva.

Hadiah lain pada cabutan tempatan bulanan SSP adalah lima buah motosikal jenis Modenas GT 128, 10 buah Apple Iphone dan 100 SSP bernilai RM150 setiap satu.

Kenyataan itu turut menyebut orang ramai boleh membeli SSP dengan harga serendah RM10 di 398 cawangan BSN, 999 mesin ATM BSN, 285 mesin deposit tunai BSN dan 4,425 ejen perbankan tanpa cawangan yang terdapat di seluruh negara.

Selain itu, BSN turut menawarkan hadiah istimewa RM1 juta kepada pemegang SSP yang dipilih melalui cabutan perdana yang akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.

Hadiah itu ditawarkan kepada pemegang SSP yang mempunyai simpanan minimum sebanyak RM3,000 sebelum tarikh cabutan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment