Thursday, March 14, 2013

CGC Jamin Pinjaman Baharu Bernilai RM2 Bilion Tahun Ini

PETALING JAYA, 13 Mac (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) yakin dapat memberikan perlindungan jaminan bagi pinjaman baharu bernilai RM2 bilion tahun ini.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/CGC_AlliancetawarpinjamanPKSRM50j/Article
Published: March 14, 2013

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PinjamanmudahbuatPKS/Article/index_html
Published: March 14, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=934183
Published: March 14, 2013

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, berkata beliau pasti syarikat itu akan dapat menjamin pinjaman baharu bernilai RM1 bilion lebih tinggi daripada angka-angka pinjaman tahun lepas, dan memberi faedah kepada 3,000 pelanggan.

"Dengan penyertaan lima institusi kewangan, iaitu Alliance Bank, Standard Chartered Bank, OCBC Bank, RHB Bank dan Public Bank, akan ada lebih banyak produk dalam perancangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian perikatan strategik antara CGC dan Alliance Bank Bhd, di sini, Rabu.

Jaminan portfolio yang bermula dengan saiz tranche RM50 juta itu bertujuan membantu perniagaan-perniagaan kecil dengan menyediakan pinjaman bagi modal kerja serta pembelian aset.

CGC akan memberikan perlindungan jaminan 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman pokok diluluskan yang diambil oleh PKS dan akan membantu untuk mengesahkan kredibiliti pemohon setelah berunding dengan Alliance Bank, katanya.

Wan Azhar berkata jumlah minimum pinjaman di bawah jaminan portfolio ialah RM100,000 manakala jumlah maksimum ialah RM300,000 bagi setiap pelanggan PKS dengan tempoh pinjaman tetap selama lima tahun.

Permohonan boleh dibuat di mana-mana cawangan Alliance Bank di seluruh negara di bawah Skim Ekspres Perniagaan Kecil.

Kata beliau dengan kriteria kelayakan yang telah ditentukan terlebih dahulu, CGC telah dapat memberikan kelulusan dalam tempoh tiga hari selepas menerima permohonan daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian.

"Kadar kelulusan semasa ialah hampir 90 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding skim-skim kami yang lain, hasil daripada kecekapan aliran proses," jelas Wan Azhar.

Di bawah skim ini, PKS tidak memerlukan kolateral dan rekod pencapaian, tidak seperti institusi-institusi komersial seperti bank, yang perlu mempertimbangkan risiko-risiko itu, tegas beliau.

Wan Azhar berkata apabila peminjam menyertai skim jaminan CGC ini, mereka akan dapat membina rekod pencapaian mereka, dan dengan ini, mereka tidak perlu terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

"Kelebihan kami ialah CGC memberikan pinjaman yang lebih kecil tetapi impaknya lebih besar dari segi bilangan peminjam.

"Berbeza dengan bank-bank komersial, petunjuk prestasi utama (KPI) kami adalah didasarkan kepada pertambahan bilangan PKS yang mendapat kemudahan pembiayaan," katanya.

Mewujudkan kemudahan mendapatkan dana-dana ini merupakan perkara utama, bukan ketersediaan dana, yang sememangnya banyak sekarang, katanya.

CGC ditubuhkan pada Julai 1972 untuk membantu PKS, terutamanya yang tiada kolateral atau tidak mempunyai kolateral yang mencukupi dan rekod pencapaian untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi-institusi kewangan, dengan menyediakan perlindungan jaminan bagi kemudahan-kemudahan demikian.

Syarikat itu telah memberikan perlindungan jaminan kepada lebih 420,000 pinjaman bernilai hampir RM51 bilion sejak penubuhannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment