Tuesday, March 5, 2013

Dua Mesin ATM Di Lembaga Tabung Haji Pontian Dipecah, RM456,000 Dilarikan

PONTIAN, 4 Mac (Bernama) -- Dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bangunan Lembaga Tabung Haji (LTH) di sini dipecahkan sekumpulan penjenayah yang kemudiannya berjaya melarikan wang tunai lebih RM456,000 awal Isnin.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=931977
Published: March 05, 2013

Kumpulan tersebut yang dipercayai terdiri daripada empat lelaki telah bertindak menutup kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu menggunakan pita pelekat sebelum memecahkan mesin ATM itu dalam kejadian pada 4 pagi tersebut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin berkata mereka bertindak memotong mesin ATM berkenaan berdasarkan kepada kesan habuk besi yang dijumpai.

Polis juga menemui lebih empat set cap jari orang yang berlainan di tempat kejadian.

"Kumpulan ini juga bertindak meletakkan sebuah lori bagi menghalang liputan kamera CCTV berdekatan premis berkenaan bagi mengelakkan identiti dan bilangan ahli mereka diketahui," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.

Kejadian memecahkan mesin ATM tersebut turut berlaku di pejabat Pos Benut yang terletak lebih 20 km dari bangunan LTH pada 2 pagi, bagaimanapun penjenayah yang dipercayai lebih daripada dua orang itu gagal melarikan wang mesin tersebut.

Mereka menyembur cat ke kamera CCTV yang ada di dalam premis itu bagi mengelakkan diri mereka dirakam.

Polis menemui kesan bakar dan dua set cap jari di tempat kejadian.

"Kita sedang menjalankan siasatan sama ada kedua-dua kes berkenaan dilakukan penjenayah yang sama memandangkan waktu kejadian dan modus operandi hampir sama," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment