Wednesday, March 13, 2013

Kazakhstan Minat Belajar Pengendalian Haji Lembaga Tabung Haji - Jamil Khir

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Kazakhstan berminat mempelajari proses pentadbiran dan pengendalian urusan haji oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang disifatkan sebagai begitu baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=933992
Published: March 13, 2013

Beliau berkata negara itu juga berminat menjadikan universiti Islam di negara ini sebagai model bagi pembinaan universiti Islam di negara mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Hal Ehwal Keagamaan Kazakhstan Khairat Lama Sharif di pejabatnya di sini Selasa, Jamil Khir berkata untuk itu delegasi negara itu akan dibawa melawat ibu pejabat Tabung Haji pada Rabu.

Delegasi itu juga akan kembali ke Malaysia selepas musim haji tahun ini bagi melihat butiran terperinci mengenai pembinaan universiti Islam di negara ini, katanya.

Jamil Khir berkata dalam pertemuan ringkas itu, kedua-dua negara juga diharap dapat saling bertukar pandangan dan input dalam membangunkan Islam terutama berkaitan agensi-agensi agama, memandangkan kedua-dua negara mempunyai majoriti penduduk beragama Islam dan juga penganut pelbagai agama lain.

"Beliau (Khairat Lama Sharif) juga amat berterima kasih kerana bagi beliau Malaysia adalah sebuah negara yang amat dikagumi dalam konteks Islam dan lebih-lebih lagi dalam konteks pengurusan haji," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemakaian tangkal yang mempunyai ayat al-Quran oleh pengganas Sulu di Sabah kononnya untuk menjadi kebal, Jamil Khir berkata ia merupakan kepercayaan karut dan terkeluar daripada landasan Islam.

Beliau berkata lebih menyedihkan apabila ayat-ayat suci itu ditulis secara songsang dan diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya seperti diikat di kaki dan di celah kelangkang mereka.

"Natijahnya semua dah tengok yang mana pakai tangkal tu mati juga...hanya kekuasaan Tuhan yang menentukan nasib, dan qada dan qadar mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment