Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuktikan kredibiliti sebagai antara pengurus dana paling berkaliber di negara ini apabila berjaya mengumpulkan sebanyak RM40 bilion, lebih tiga kali ganda berbanding RM13.3 bilion yang dicatatkan pada 2006.
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DanaterkumpulTabungHajiRM40b/Article/index_html
Published: March 24, 2013
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismee Ismail berkata, prestasi sangat memberangsangkan itu dicapai hasil pelan strategik yang dirangka selain meningkatnya kepercayaan orang ramai terhadap kemampuan syarikat.
“Dalam tempoh hanya tujuh tahun, kami sudah mengumpulkan dana sebanyak RM40 bilion. Jumlah pendeposit Tabung Haji kini mencecah 8.2 juta orang.” “Kami juga sudah mencapai sasaran untuk menarik 50 peratus daripada masyarakat Islam Malaysia menyimpan dalam Tabung Haji dan akan terus berusaha untuk memastikan jumlah ini meningkat,” katanya ketika melakukan lawatan rasmi ke Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Bangsar di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) Datuk Mustapa Omar.
Ismee berkata, tahun lalu, Tabung Haji meraih keuntungan selepas cukai dan zakat sebanyak RM2.14 bilion.
“Bayaran dividen dan bonus pendeposit tahun lalu berjumlah RM2.46 bilion,” katanya.
Mengulas unjuran tahun kewangan semasa, beliau berkata, pihaknya menjangkakan prestasi serupa dengan tahun lalu.
“Kami mengambil pendekatan optimis tetapi berhati-hati. Kami akan terus memantapkan perniagaan teras kami iaitu antaranya dalam sektor kewangan Islam, hartanah dan perladangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment