Sunday, March 3, 2013

Tabung Haji Peruntuk RM2.5 Juta Bantu Asnaf Miskin Miliki Rumah

GURUN, 2 Mac (Bernama) -- Tabung Haji memperuntukkan RM2.5 juta bagi membantu golongan asnaf miskin memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat menerusi Projek Bumbung yang dilaksanakan di tujuh negeri.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=931538
Published: March 03, 2013

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Projek Bumbung itu antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Tabung Haji untuk menyumbang ke arah pembangunan komuniti yang lestari dan mampan, khususnya komuniti Islam.

"Saya difahamkan, Tabung Haji membelanjakan sejumlah RM2.5 juta bagi pembinaan 51 rumah baru, sebuah masjid, serta membaik pulih 21 rumah sedia ada. Kos pembinaan setiap rumah dianggarkan RM30,000 dan saya bangga dengan kualiti pembinaan rumah ini yang turut dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik," kata nya pada sidang media, di sini Sabtu.

Projek Bumbung yang bermula tahun lalu itu dilaksanakan di Kedah, Johor, Perak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Jamil Khir berkata usaha murni Tabung Haji itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan memiliki rumah yang selamat dan selesa, selain membantu mengurangkan beban yang ditanggung golongan berkenaan.

"Bantuan rumah ini memberikan sentuhan kepada keluarga terlibat, sebagai contoh Puan Zaiton Hamzah yang merupakan ibu tunggal dan perlu menyara tujuh orang anak," katanya.

Difahamkan, pembinaan 10 unit rumah di Kedah melibatkan beberapa kawasan iaitu Megat Dewa dan Kampung Kuala Kalong, Jalan Sanglang, Kodiang di Jerlun; Kampung Surau dan Kampung Tanjung, Sik; Kampung Selekoh Tengah, Kampung Kuala Sungai dan Kampung Simpang 4, Sedaka, Yan; Kampung Sungai Dedap, Kota Sarang Semut dan Kampung Bukit Besar, Alor Setar; serta Batu 10, Jeniang.

Jamil Khir sebelum itu hadir Majlis Penyerahan Rumah Projek Bumbung Tabung Haji, di Batu 10, Jeniang, dekat sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji Datuk Kamaruddin Mat Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha, Penyelaras Parlimen Jerai Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun Dr Leong Yong Kong.

Sementara itu, Zaiton, 48, ketika ditemui berkata beliau bersyukur dengan sumbangan itu yang memberikan kehidupan lebih selesa kepadanya sekeluarga.

"Sejak kematian suami pada 2006, saya menyara anak-anak dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya rasa gembira dengan bantuan ini dan berterima kasih kepada Tabung Haji yang sudi membantu," katanya yang mempunyai tujuh anak berusia 11 dan 24 tahun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment