Friday, March 1, 2013

Exim Bank Sasar Tingkat Sumbangan Pembiayaan Islam

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Sumbangan pembiayaan Islam Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) kepada jumlah pinjaman disasarkan meningkat kepada 30 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang daripada 20 peratus sekarang.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=931005
Published: March 01, 2013

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Adissadikin Ali berkata peningkatan itu akan disokong oleh pembayaran pinjaman tinggi, yang disasarkan berkembang pada sekurang-kurangnya 30 peratus, setiap tahun, sehingga 2015.

"Tahun lepas, jumlah pembayaran pinjaman melepasi pertumbuhan 30 peratus, tahun-ke-tahun, melebihi RM3 bilion.

"Pada 2013, kami menyasar pembayaran pinjaman RM5 bilion dipacu oleh permintaan daripada syarikat untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara susulan penggunaan domestik yang perlahan," katanya kepada pemberita selepas majlis permeterian perjanjian kemudahan pembiayaan Islam antara bank itu dan Dolphin Application Sdn Bhd, Khamis.

Ketua Pegawai Perniagaan Exim Md Harris Md Taib menanda tangan mewakili bank tersebut manakala Dolphin Application diwakili oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eric Low.

Mengenai perjanjian tersebut, Adissadikin berkata Exim Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan Islam berjumlah US$10 juta (US$1=RM3.10) kepada Dolphin Application untuk membiayai sebahagian kontrak bagi bekalan sistem automasi bersepadu kepada pengilang minyak sawit di Indonesia.

Sementara itu, Low berkata syarikatnya ketika ini menumpukan untuk memasarkan sistemnya ke Indonesia dan Malaysia, dua daripada pengeluar utama minyak sawit mentah dan derivatif minyak sawit mentah dunia, selepas telahpun mengeksport sistem itu ke 11 negara termasuk Thailand, Myanmar, India, Papua New Guinea dan Amerika Latin.

"Penyelesaian bersepadu yang dibangunkan oleh Dolphin Application menyediakan kepada pekilang minyak sawit produktiviti yang akan meminimumkan kos operasi pengeluaran," katanya.

Industri minyak sawit Indonesia berkembang lapan peratus tahun lepas dengan nilai pasaran kira-kira US$49 bilion dan dijangka meningkat lagi sebanyak 8.6 peratus tahun ini mencecah US$53 bilion.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment