KOTA BHARU - Dua dana baru dilancarkan SME Bank baru-baru ini, Dana Usahawan Muda (YEF) dan Dana Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dijangka akan mengangkat usahawan muda negara ke peringkat lebih tinggi.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/sme-perkenal-dua-dana-baru-1.136652
Published: March 05, 2013
Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain berkata, kedua-dua dana adalah amanah bajet 2013 yang memperuntukkan RM2.25 bilion untuk pembangunan PKS di Malaysia disalur melalui skim itu.
“Selain daripada menyediakan pelbagai produk dan dana khusus, SME Bank juga turut hulurkan bantuan khidmat nasihat dari peringkat permulaan sehingga ke peringkat matang supaya PKS dapat terus berkembang ke tahap global,” katanya pada Perasmian Pusat Enterpris SME Bank di sini.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus dan kakitangan bank berkenaan.
Menurutnya, khidmat latihan diberikan dalam PKS untuk memberi maklumat pasaran dan sokongan memahami industri tersebut dan latihan sebagai pengetahuan serta kemahiran bidang itu.
Beliau berkata, dengan pembukaan premis baru di Kota Bharu itu akan menambah lagi usaha dan minat usahawan negeri ini untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.
“Pembukaan dan penempatan semula lokasi Pusat Enterpris ini juga untuk beri keselesaan kepada usahawan berurusan dengan kami memandangkan premis ini lebih besar dan lokasinya strategik berbanding lokasi terdahulu.
“Sejak penubuhan SME Bank hingga awal Januari 2013, RM456.7 juta pembiayaan kepada 514 pemohon di Kelantan diluluskan dan untuk Januari 2013 sahaja, kami luluskan 10 permohonan berjumlah RM2.7 juta,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan pembukaan premis baru itu menambah lagi jumlah usahawan yang boleh dilahirkan di negeri ini.
No comments:
Post a Comment