Friday, March 8, 2013

Institusi Kewangan Perlu Terima Harta Intelek Sebagai Cagaran - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Sokongan institusi kewangan negara dengan menerima Harta Intelek (IP) sebagai cagaran pinjaman dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=932783
Published: March 08, 2013

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri berkata beliau akan mencadangkan kepada Bank Negara agar menyarankan institusi kewangan berbuat demikian apabila negara mempunyai penilai IP yang diiktiraf.

"Pihak institusi kewangan tidak boleh menerima IP sebagai cagaran disebabkan negara tidak ada penilai yang layak menilai sesuatu IP.

"Sebelum ini kalau kita mahukan penilai IP, kita terpaksa dapatkan daripada luar negara seperti Australia," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Modul Latihan Penilaian Harta Intelek anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), di sini Khamis.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang berunding dengan beberapa institusi kewangan berkaitan kerajaan untuk melaksanakan pinjaman menerusi cagaran IP tersebut.

Pada masa yang sama, katanya, MyIPO dan Perbadanan Pembangunan Multimedia akan memilih 20 peserta Penilai IP sebagai projek perintis, untuk mengikuti Modul Latihan Penilaian Harta Intelek.

Beliau berkata peserta terbabit meliputi pelbagai bidang antaranya undang-undang, kewangan dan teknikal yang akan mengikuti modul itu selama tiga bulan secara berperingkat bermula tahun ini.

"Kalau kita mahu menjadikan IP sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman kepada usahawan PKS kita perlu mewujudkan penilai dalam kalangan rakyat negara kita," katanya.

Beliau berkata peserta yang terpilih itu mestilah mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lapan hingga 10 tahun untuk menjadi penilai IP yang diiktiraf.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment