Friday, March 1, 2013

Perhimpunan Usahawan Bumiputera Sasar Kumpulkan 3,000 Usahawan (SME Bank)

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad ini, menyasarkan penyertaan 3,000 usahawan bumiputera seluruh negara dalam usaha memperkukuh jaringan perniagaan antara usahawan tersebut.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=931025
Published: March 01, 2013

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kukuhjaringan/Article/index_html
Published: March 01, 2013

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/perhimpunan-usahawan-bumiputera-sasar-3-000-penyertaan-1.135369
Published: March 01, 2013

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Khairy Jamaluddin berkata perhimpunan yang diadakan buat julung kalinya itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin depan dan melibatkan 13 agensi keusahawanan antaranya Mara, SME Bank, Tekun selain PUNB sendiri.

"Perhimpunan ini merupakan platform terbaik buat usahawan bumiputera memberikan maklum balas kepada Perdana Menteri (Najib) serta agensi yang terlibat tentang keberkesanan program pembangunan usahawan, antaranya dari segi dana dan latihan keusahawanan juga cadangan penambahbaikan program tersebut.

"Ini juga peluang buat usahawan menambah jaringan dan tidak tertakluk kepada kumpulan usahawan agensi tertentu sahaja seperti usahawan PUNB boleh menambah jaringan dengan usahawan Mara dan sebagainya," katanya pada sidang media di Bukit Kiara di sini Khamis.

Perhimpunan bertemakan 'Bersama Memacu Kejayaan' itu bakal diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini dan bakal menghimpunkan usahawan bumiputera kecil, sederhana dan besar serta daripada pelbagai sektor ekonomi di negara ini.

Khairy berkata perhimpunan itu juga bakal menjadi wadah bagi 13 agensi keusahawanan di negara ini berkongsi 'amalan terbaik' bagi memperkasa program keusahawanan mereka dan menyelesaikan pelbagai masalah seperti pinjaman tidak dibayar.

"Bagi memperkasa usahawan ini tiada lagi istilah beroperasi dalam kepompong sendiri, setiap agensi mesti bekerjasama ke arah satu matlamat memperkasa usahawan bumiputera kita.

"Ini juga satu platform untuk agensi mengenal pasti usahawan berpotensi daripada satu agensi untuk diberi bantuan yang lebih besar daripada agensi lain seperti usahawan berpotensi Tekun boleh melangkah kepada SME Bank untuk dapatkan pinjaman lebih besar bagi meluaskan perniagaan mereka," katanya.

Beliau turut mengingatkan usahawan bumiputera supaya tidak beroperasi di sebalik tembok mereka sendiri dan mudah berpuas hati terhadap kejayaan yang mereka capai.

"Ini satu penyakit usahawan bumiputera kita, bila dah selesa dengan tahap perniagaan mereka, terus mahu kekalkan tahap itu tanpa fikir untuk majukan perniagaan mereka. Mentaliti ini perlu dihapuskan dan usahawan bumiputera perlu sentiasa mencari peluang memajukan perniagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment